KLANG – 2 mangsa nahas kejadian pesawat ringan yang terhempas pada tengah hari semalam di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang ditemui berada didalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter dalam tanah, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor Wan Md.Razali Wan Ismail.
Pesawat ringan yang terhempas itu dapat dikenal pasti sebagai pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang mempunyai nombor berdaftar I-P00C yang dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club.
Pengarah Jabatan Bomba dalam satu kenyataan menyebut mangsa pertama ditemui pada jam 7.06 malam semalam disusuli oleh mangsa kedua dalam 11 minit kemudiannya.
“Kedua-dua mangsa berada dalam kokpit pesawat ketika ditemui, meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.
Usaha pencarian yang dilakukan pihak bomba, dikatakan oleh Wan Md Razali menggunakan kaedah “sweeping” dalam jarak 800 meter daripada cebisan sayap pesawat sehingga ke bangkai utama pesawat yang dipercayai terjunam ketika penerbangan.
Bomba juga telah melakukan proses penggalian secara manual dengan adanya bantuan jentera berat untuk mencari cebisan-cebisan mayat yang ditemui disekitar kawasan tersebut.
Kerja mencari tersebut juga ada dibantu oleh pasukan bomba sukarela, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk sekitar.
Pelbagai media telah melaporkan juruterbang dan seorang pembantu juruterbang tersebut disahkan maut nahas semalam dan kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mengikut manifes yang didaftarkan, nama mangsa yang terbunuh ialah juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 42.
Proses bedah siasat dua mangsa yang terbunuh akan dilakukan pada 8 pagi ini di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Sama-sama kita doakan keadaan keluarga mangsa dan semoga dapat mengetahui kebenaran tentang punca berlakunya nahas ini.
SUMBER : BERNAMA, BERITA HARIAN


