USAHA kerajaan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu membangunkan semula Gaza adalah tindakan yang perlu disokong sepenuhnya.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr. Mohd Sukki Othman berkata, langkah ini mencerminkan solidariti Malaysia yang konsisten terhadap perjuangan rakyat Palestin dan wajar dipuji sebagai satu inisiatif kemanusiaan yang strategik.

“Malaysia telah memainkan peranan aktif di peringkat global dalam menyuarakan sokongan kepada Palestin, terutamanya melalui platform seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan kerjasama dua hala dengan negara-negara lain.

“Usaha diplomasi ini tidak hanya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai penyokong kuat keadilan global, tetapi juga memberi suara kepada penderitaan rakyat Palestin yang ditindas,” kata beliau ketika dihubungi.

Mohd Sukki turut memuji inisiatif kerajaan dalam menyediakan bantuan langsung kepada Gaza yang meliputi penghantaran bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

Beliau menegaskan bahawa usaha ini penting untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat Gaza yang sedang berdepan dengan kemusnahan besar akibat konflik.

Tambahan pula, kerjasama kerajaan dengan NGO tempatan dan antarabangsa dilihat sebagai langkah proaktif untuk membangunkan semula infrastruktur Gaza yang musnah.

Bagaimanapun, beliau juga mengingatkan tentang cabaran besar yang dihadapi dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Sekatan ketat oleh rejim Zionis serta ketidaktentuan politik di wilayah tersebut sering menjadi halangan utama.

“Oleh itu, amat penting memperkukuhkan usaha diplomatik dan menjalin lebih banyak kerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk memastikan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan,” jelas beliau.

Secara keseluruhannya, Mohd Sukki percaya bahawa inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperjuangkan keadilan dan hak asasi rakyat Palestin.

Beliau berharap usaha kerajaan ini dapat diteruskan secara strategik dan berkesan demi kesejahteraan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

“Semoga usaha ini menjadi satu sumbangan besar Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dan bukti solidariti kita terhadap mereka yang tertindas,” tambahnya.