KENAIKAN gaji minimum kepada RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bukan sahaja disambut positif oleh rakyat tetapi juga di pihak Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah ini bukan sahaja akan membawa manfaat besar kepada lebih 4 juta pekerja, malah mampu menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Keputusan kerajaan menetapkan gaji minimum kepada RM1,700 ini berpotensi meningkatkan motivasi pekerja, yang seterusnya dapat menyumbang kepada lonjakan produktiviti.

“Dengan gaji yang lebih baik, kami yakin pekerja akan lebih bersemangat dan ini akan menjadikan perniagaan mampu bertahan dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Tambah beliau, kenaikan gaji minimum ini turut menggambarkan keprihatinan majikan dalam mewujudkan tempat kerja yang lebih mampan dan inklusif.

“Pelaburan dalam peningkatan kemahiran pekerja akan memberikan kesan positif seperti kepuasan kerja yang lebih tinggi dan membantu menjamin kejayaan perniagaan,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam konteks perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merangkumi 98 peratus perniagaan di Malaysia, MEF menyokong langkah kerajaan memberikan tempoh tangguh selama enam bulan sehingga 1 Ogos 2025 bagi majikan mikro untuk melaksanakan gaji minimum baharu.

“Langkah ini memberi ruang kepada PKS dan perusahaan mikro menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa membebankan mereka secara kewangan,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan PKS untuk memanfaatkan peluang ini bagi memperbaiki kebajikan pekerja dan meningkatkan produktiviti syarikat, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan semua pekerja menikmati gaji yang setimpal.

Bagaimanapun, MEF menegaskan agar majikan tidak memindahkan beban kos kenaikan gaji ini kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Jika perkara ini berlaku, ia hanya akan menyebabkan inflasi dan melemahkan daya saing ekonomi negara,” katanya.

Sebaliknya, MEF menggalakkan perniagaan untuk meningkatkan kecekapan operasi, melabur dalam teknologi baharu dan memperkukuh latihan pekerja bagi mengekalkan daya saing mereka.

Beliau juga memberitahu, MEF mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menyemak gaji minimum setiap dua tahun seperti yang termaktub dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Kami menyeru agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC, GLIC), serta syarikat besar untuk menyemak semula kontrak perkhidmatan mulai 1 Februari 2025 bagi memastikan pematuhan terhadap kadar gaji minimum baharu,” kata beliau.

Syed Hussain turut menyuarakan harapan agar kerajaan terus menyokong majikan, terutama PKS dan perusahaan mikro dengan menyediakan insentif kewangan serta program latihan bagi memudahkan peralihan kepada gaji minimum baharu.

“Kami berharap kerajaan akan terus menyokong majikan, terutama PKS dan perusahaan mikro dengan insentif kewangan dan program latihan untuk memudahkan peralihan kepada gaji minimum baharu sambil mengekalkan pertumbuhan perniagaan.

“MEF percaya bahawa pelaksanaan gaji minimum RM1,700 akan membolehkan majikan menarik dan mengekalkan bakat, meningkatkan daya tahan perniagaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh,” katanya menutup bicara.