MEDIA sosial telah menjadi platform utama bagi masyarakat moden masa kini untuk menyuarakan pendapat, berkongsi maklumat dan berinteraksi dengan pelbagai pihak.

Namun, kebebasan bersuara yang tidak terkawal boleh membawa kepada penyalahgunaan termasuk penyebaran fitnah, kebencian dan berita palsu.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor berkata, kajian menunjukkan bahawa terlalu banyak kawalan secara perundangan dan teknikal boleh menjejaskan kebebasan bersuara.

“Tetapi kawalan yang terlalu longgar pula boleh membawa kepada penyalahgunaan media sosial oleh netizen. Perkara ini haruslah seumpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.

“Malaysia memerlukan undang-undang yang seimbang, cukup ketat untuk mengawal penyebaran kebencian, fitnah dan berita palsu tetapi tidak terlalu menyekat kebebasan bersuara yang membina.

“Jalan sebaiknya adalah merujuk kepada perspektif Islam berkenaan konsep hisbah. Konsep hisbah ini adalah mekanisme pengawasan sosial yang mana ia memberi garis panduan tentang keperluan mengawal kebebasan bersuara dengan adil dan tidak melampaui batas,” katanya ketika dihubungi.

Ia selari dengan pandangan Dr. Ariyanti dari Universiti Malaya yang menekankan kepentingan membudayakan kebebasan bersuara secara sihat dan penuh hikmah demi menjaga keharmonian masyarakat.

Berkaitan dengan kawal selia kandungan media sosial, kerajaan telah menguatkuasakan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan sabitan hukuman penjara dan denda atau kedua-duanya sekali di atas sabitan terhadap membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengaib dan memfitnah.

Begitu juga di bawah pindaan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, tanggungjawab terhadap kandungan dalam talian kini diletakkan pada platform terbabit dan bukannya kepada pengguna individu.

Mulai 1 Jan 2025, platform-platform tersebut akan bertanggungjawab secara langsung untuk menguruskan kandungan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya.

“Kerangka kawal selia ini memastikan platform berkenaan lebih bertanggungjawab dan berintegriti dalam menjalankan operasi perniagaan mereka di Malaysia,” jelasnya.

Bagaimanapun, dalam aspek perundangan, beliau menegaskan ia perlu diperketatkan bagi membasmi penyalahgunaan hak bersuara di media sosial yang semakin menjurus kepada provokasi terhadap institusi Raja Berperlembagaan dan membangkitkan isu perkauman.

“Kerajaan dan badan berkaitan perlu memastikan kawalan yang dilakukan bersifat mendidik dan bukan semata-mata menghukum.

“Pendidikan digital juga penting untuk meningkatkan literasi media dalam kalangan pengguna. Dalam Islam, peranan pemerintah adalah untuk memastikan keadilan dan mencegah kerosakan sosial.

“Dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 menegaskan kepentingan amanah dalam kepimpinan, termasuk dalam mengawal selia media sosial,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan pengguna terutama yang beragama Islam agar mengekalkan adab dan etika di media sosial.

Tambahnya, Sheikh Hamza Yusuf, seorang sarjana Islam terkemuka menekankan kepentingan adab digital dalam era moden dengan merujuk kepada prinsip Islam seperti ihsan (berbuat baik) dan husnuzon (berfikiran baik) dalam komunikasi.

Intipatinya seperti berikut:

  1. Bersikap beradab dan matang
  • Berbicaralah dengan baik dan mengelakkan provokasi.
  1. Pegang prinsip menyemak kesahihan maklumat
    – Islam menekankan prinsip tabayyun (menyelidik kebenaran) sebelum menyebarkan sesuatu berita. Tak pasti jangan kongsi.
  2. Menjaga hubungan kekeluargaan
    – Media sosial bukan medan untuk memburukkan ahli keluarga atau menyebarkan aib orang lain.
  • Walaupun kita tidak berniat sebegitu rupa, ada kalanya over exposing ahli keluarga dalam media sosial ini menyebabkan ketidakselesaan pada mereka.
  • Cumanya mereka tak terluah saja kepada kita dan kita tidak sedar.
  1. Menggunakan media sosial untuk kebaikan
    – Menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan saling mengingatkan dalam kebaikan.
  • Kita harus cuba menjadi agen terbaik dalam menyebarkan risalah kebenaran.
  • Bukankah Rasulullah SAW ada bersabda: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat?”
  • Ini isyarat jelas bahawa bukan saja secara lisan kita harus ‘ringan’ mengajak melakukan kebaikan, bahkan melalui media sosial, ruang menyampaikan kebaikan itu bersifat global dan lebih luas.
  • Seterusnya, jika tidak ada apa ingin disampaikan di laman maya ini, telusuri hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hakikatnya, kebebasan bersuara di media sosial adalah hak yang perlu diimbangi dengan tanggungjawab.

Undang-undang yang seimbang, kawal selia yang berkesan dan pendidikan digital adalah kunci dalam memastikan media sosial digunakan secara sihat.

Sebagai pengguna, kita juga perlu berpegang kepada prinsip adab dan etika dalam berkomunikasi, demi memastikan media sosial menjadi ruang yang membina, bukan merosakkan jiwa.