SELEPAS lebih 50 tahun diusahakan, akhirnya Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam sekali gus mencipta sejarah dalam industri media negara.

Pengarang Berita Kosmo, Mohd Turmadzi Madun berkata, penubuhan MMM adalah langkah penting dalam memastikan kebebasan dan integriti media di Malaysia.

“Penubuhan MMM ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh landskap media negara.

“Ia juga sebagai tanda aras pemain industri semakin diterima di kelompok antarabangsa.

“Diharap dengan adanya RUU ini, ia dapat memberi jaminan kebebasan dan integriti media di negara kita,” katanya ketika dihubungi.

Tegas beliau, badan itu akan berfungsi sebagai platform untuk menangani isu-isu berkaitan etika dan profesionalisme dalam kewartawanan serta menjadi penghubung antara media, kerajaan dan masyarakat.

“Secara dasarnya, penubuhan MMM akan membawa manfaat besar kepada industri media tempatan.

“Selain itu, badan kawal selia kendiri ini akan membantu meningkatkan kredibiliti media Malaysia di mata dunia di samping memastikan laporan yang lebih beretika dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambah beliau, MMM juga dapat menjadi platform untuk latihan dan pembangunan profesional bagi wartawan.

“Melalui latihan yang berterusan, ia memastikan pengamal media sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan standard antarabangsa dalam industri kewartawanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap MMM akan bekerjasama rapat dengan organisasi media untuk membangunkan garis panduan dan kod etika yang jelas, demi masa depan profesion kewartawanan yang lebih cemerlang di Malaysia.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama, 10 agensi dan pertubuhan media melahirkan sokongan terhadap penubuhan MMM.

Bagaimanapun, mereka menegaskan keperluan untuk majlis iti menangani isu-isu utama bagi memastikan ia benar-benar berfungsi seperti yang diharapkan.

“Dalam hal ini, kami secara prinsip menolak kehadiran wakil kerajaan sebagai ahli lembaga MMM kerana melemahkan objektif dan tujuannya sebagai badan kawal selia kendiri.

“Dalam perbahasan Timbalan
Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di Dewan Rakyat hari ini (semalam), beliau menegaskan bahawa wakil kerajaan adalah dalam kalangan yang arif dengan industri media seperti Bernama dan RTM.

“Kami berharap agar janji ini menandakan komitmen daripada kerajaan dalam mempromosikan kebebasan media dan meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan berbanding manfaat politik,” menurut kenyataan itu.

Seterusnya, dalam memastikan bahawa penubuhan MMM bukan sekadar tindakan simbolik bagi
memuaskan media dan masyarakat, kerajaan harus memperkasa dan memberi sumber daya yang mencukupi kepada MMM agar memenuhi mandat reformasi.

Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Siti Suriani Othman pula berharap, penubuhan MMM akan membawa perkembangan positif dalam industri media di Malaysia.

Beliau mengakui banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha memastikan MMM benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Paling utama adalah untuk memastikan bahawa pengamal media tidak ditekan oleh kuasa politik atau faktor luaran yang boleh menyebabkan kebebasan mereka terjejas ketika bertugas.

“Melalui penubuhan MMM, diharap ia mampu meneguhkan etika kewartawanan di tahap tertinggi, melindungi kebebasan media dan menjadi badan yang menyelesaikan sesuatu konflik dalam industri ini secara adil,” katanya.

RUU MMM 2024 ini telah mendapat sokongan majoriti selepas perbahasan di Dewan Rakyat oleh 18 Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.