MEMASUKI era digital yang semakin pesat berkembang, aplikasi janji temu dalam talian seperti Tinder, Grindr dan Omi semakin popular bagi pengguna internet.
Namun, kewujudan aplikasi ini turut membawa risiko besar terutamanya dalam aspek keselamatan pengguna, khususnya golongan remaja.
Menyedari ancaman ini, kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan menyekat akses kepada aplikasi-aplikasi tersebut bagi mengurangkan kes jenayah yang berpunca daripada interaksi dalam talian.
Guru Bimbingan dan Kaunseling dari SMK Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee berkata, keputusan kerajaan menyekat aplikasi janji temu tersebut adalah langkah wajar dalam menangani isu jenayah siber yang semakin membimbangkan.
“Kerajaan memang patut menyekat aplikasi ini kerana jika kita lihat daripada berita, banyak kes jenayah seperti rogol dan penculikan berpunca daripada penggunaan aplikasi janji temu.
“Malah, aplikasi ini juga berpotensi merosakkan rumah tangga. Walaupun faktor individu memainkan peranan, sekiranya aplikasi ini tidak wujud, masalah ini mungkin dapat dikurangkan,” jelas beliau.
Dalam menghadapi cabaran dunia siber yang semakin kompleks, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengenai keselamatan digital.
Abdul Muiez menegaskan bahawa pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti dalam talian anak-anak adalah keperluan yang tidak boleh diabaikan.
“Ibu bapa perlu sentiasa memeriksa telefon bimbit anak-anak, terutama remaja. Mereka perlu memastikan anak-anak tidak memasang aplikasi janji temu ini kerana mereka masih berada di bawah pengawasan ibu bapa.
“Privasi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab ini. Kes jenayah seperti rogol melibatkan mangsa seawal usia 11 tahun telah dilaporkan, menunjukkan betapa pentingnya pemantauan ibu bapa terhadap peranti anak-anak mereka,” katanya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar kerap meneliti galeri, mesej serta sejarah perbualan anak-anak dalam aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram untuk memastikan mereka tidak terjebak dalam aktiviti yang tidak diingini.
Selain menyekat aplikasi tertentu, Abdul Muiez berpandangan bahawa kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan keselamatan pengguna di ruang siber.
Antaranya adalah memperketatkan peraturan pendaftaran pengguna dalam aplikasi janji temu.
“Kerajaan boleh menguatkuasakan syarat bahawa individu di bawah umur 18 atau 21 tahun diharamkan mendaftar dalam aplikasi ini.
Kawalan data peribadi juga perlu diperketatkan seperti mengehadkan kebolehan pengguna untuk menghubungi individu lain secara langsung dalam aplikasi tersebut,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi keselamatan siber mengadakan lebih banyak kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya aplikasi janji temu.
Langkah ini termasuklah menerbitkan iklan, poster serta program pendedahan berkaitan jenayah siber yang berpunca daripada aplikasi tersebut.
Sebagai seorang guru bimbingan dan kaunseling, Abdul Muiez menasihatkan remaja agar mengelakkan penggunaan aplikasi janji temu sebagai kaedah mencari jodoh.
“Banyak lagi cara lain untuk mengenali pasangan termasuk melalui perkenalan secara langsung atau dengan bantuan ibu bapa.
“Masalah utama dalam penggunaan aplikasi ini adalah kita tidak dapat membaca niat seseorang. Ada kes di mana individu hanya menyedari pasangan mereka sudah berkahwin setelah menjalin hubungan serius.
“Justeru, elakkan penggunaan aplikasi janji temu sebegini kerana risikonya lebih besar berbanding manfaatnya,” katanya.
Bagi ibu bapa pula, beliau mengingatkan mereka agar sentiasa memastikan anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan trend digital yang berbahaya.
“Kanak-kanak cenderung untuk mencuba sesuatu yang baru dan menggembirakan mereka. Jika tidak dikawal, mereka boleh menjadi mangsa kepada individu yang berniat jahat. Oleh itu, pemantauan ibu bapa adalah langkah paling penting untuk memastikan keselamatan mereka,” tambahnya.
Kesimpulannya, langkah kerajaan dalam menyekat aplikasi janji temu adalah sebahagian daripada usaha melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah siber.
Namun, tanggungjawab ini tidak hanya terletak pada bahu kerajaan sahaja. Ibu bapa, sekolah dan masyarakat secara keseluruhannya perlu bekerjasama dalam memastikan anak-anak memahami risiko dunia digital serta menggunakannya dengan bijak dan selamat.
