DALAM dunia politik yang sentiasa dinamik, rombakan kabinet sering dilihat sebagai petanda ketidaktentuan atau perebutan kuasa. 

Penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, rombakan kabinet bukanlah semestinya sesuatu perkara yang negatif.

Prof Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah

Sebaliknya, beliau menyifatkan langkah itu sebagai satu bentuk penyegaran dan pembaharuan pentadbiran, khususnya jika ia dilakukan dengan strategi dan matlamat yang jelas.

“Desas-desus rombakan kabinet tidak semestinya negatif. Ia boleh menjadi satu bentuk penyegaran dan pembaharuan pentadbiran jika dilakukan dengan berstrategi dan bukan semata-mata untuk menyeimbangkan kuasa dalaman. 

“Yang penting ialah keupayaan kabinet baharu menyampaikan dasar dan menstabilkan serta mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya ketika dihubungi Negara News.

Mengulas soal perubahan kepimpinan dan politik berasaskan individu, Dr. Azmir menekankan perlunya rakyat dan pemimpin melihat peralihan kuasa sebagai proses biasa dalam demokrasi matang, bukannya krisis.

“Dalam demokrasi matang, perubahan adalah lumrah dan ia perkembangan yang sihat selagi prosesnya telus dan berinstitusi. 

“Ia membuka ruang kepada idea baru dan kepimpinan yang lebih segar untuk menjawab cabaran semasa,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, Malaysia masih belum sepenuhnya bersedia untuk beralih kepada politik pasca-personaliti, iaitu sebuah landskap politik yang tidak lagi bersandarkan kepada karisma individu, sebaliknya dipandu oleh prinsip dan institusi.

“Kita masih bergantung kepada tokoh-tokoh karismatik dan power-centered. Namun, terdapat petanda kematangan politik rakyat, terutama dalam kalangan pengundi muda, yang lebih menilai dasar berbanding individu,” katanya.

Ketika mengulas isu pengunduran tokoh tertentu dalam kerajaan, Dr. Azmir menegaskan bahawa reformasi tidak boleh digantung kepada mana-mana individu semata-mata, sebaliknya perlu diinstitusikan agar terus lestari.

“Kita perlu menginstitusikan reformasi – contohnya melalui pembaharuan institusi, undang-undang yang progresif dan pemupukan budaya politik baharu dalam parti dan masyarakat. 

“Reformasi mesti menjadi gerakan kolektif, bukan agenda individu. Namun kita harus akui, pembaharuan ini semakin malap kerana terarah kepada politik dalaman,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak kekal memberi tumpuan kepada isu paling mendesak ketika ini – kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

“Rakyat memerlukan dasar yang konsisten dan kepimpinan yang fokus, bukan permainan dalaman parti yang mengalihkan tumpuan daripada agenda nasional,” tegas Dr. Azmir.