KUALA LUMPUR, 16 Jun 2025 – Kerajaan hari ini tampil memberi penjelasan terhadap beberapa dakwaan tidak berasas yang tersebar berkaitan inisiatif Mobile Positioning Data (MPD), khususnya melibatkan privasi dan keselamatan data pengguna.

Dalam satu kenyataan rasmi, pihak berkuasa menegaskan bahawa tiada sebarang unsur pemantauan individu atau pengumpulan data peribadi yang berlaku di bawah pelaksanaan inisiatif ini. Berikut adalah penjelasan terhadap dakwaan yang tular:

1. Dakwaan: “Kerajaan mengumpul sejarah lokasi individu”

Tidak benar. Lokasi yang digunakan adalah berdasarkan lokasi menara pemancar rangkaian, bukan kedudukan sebenar peranti atau individu. Tiada sistem penjejakan lokasi tepat digunakan.

2. Dakwaan: “Kerajaan mengumpul ID peranti”

Juga tidak benar. Data yang dikumpulkan telah dinyahidentiti sepenuhnya oleh penyedia rangkaian mudah alih (MNO). Ini bermakna tiada nombor telefon, nama pengguna, ID peranti atau maklumat langganan dikongsi dalam set data.

3. Dakwaan: “Kerajaan menyimpan log panggilan pengguna”

Tidak benar. MPD tidak melibatkan sebarang log panggilan atau kandungan komunikasi. Hanya cap masa (timestamp) apabila peranti mula berhubung dengan rangkaian direkodkan secara automatik, tanpa maklumat tentang siapa dihubungi atau tempoh panggilan.

4. Dakwaan: “Kerajaan mengumpul corak akses internet dan alamat IP”

Ini juga tidak tepat. MPD tidak merangkumi sebarang aktiviti berkaitan penggunaan internet, aplikasi, mahupun alamat IP.

5. Dakwaan: “Data digunakan untuk tujuan pemantauan atau kawalan”

Kerajaan menegaskan bahawa data ini digunakan semata-mata untuk analisis statistik makro bagi menyokong perancangan dasar dan pembangunan infrastruktur. Tiada sebarang elemen pengawasan individu terlibat.

6. Dakwaan: “Pengguna tidak boleh pilih untuk opt-out”

Secara teknikal, semua peranti mudah alih berinteraksi secara automatik dengan menara pemancar bagi memastikan kelancaran operasi rangkaian. Oleh itu, tidak wujud mekanisme opt-in atau opt-out pada peringkat pengguna. Namun, data yang dikumpul telah dinyahidentiti sepenuhnya dan tidak mengandungi maklumat peribadi.

Kerajaan menegaskan komitmennya terhadap perlindungan data dan privasi rakyat. Dalam konteks MPD, semua data yang diperoleh adalah bersifat agregat dan statistik, tanpa mendedahkan identiti atau maklumat peribadi mana-mana individu.

Inisiatif ini selaras dengan amalan terbaik global dalam perancangan bandar pintar dan pembangunan ekonomi digital, sambil memastikan hak privasi pengguna sentiasa dihormati.