GENEVA, 7 Julai – Malaysia melakar sejarah membanggakan di pentas antarabangsa apabila Projek Inklusif Digital NADI Malaysia dinobatkan sebagai juara Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) 2025, sekaligus meraih pengiktirafan global atas komitmen memperkasa komuniti luar bandar melalui transformasi digital.

Pengiktirafan itu diumumkan sempena World Summit on the Information Society+20 (WSIS+20) yang berlangsung di Geneva, Switzerland, menjadikan Malaysia antara negara yang diiktiraf atas usaha konkrit merapatkan jurang digital dan membawa teknologi ke kawasan terpencil.

Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil yang mengetuai delegasi negara ke sidang kemuncak itu berkata, kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan inklusif yang dilaksanakan melalui NADI bukan sahaja memberi impak lokal, tetapi turut diiktiraf dunia.

“NADI Malaysia membuktikan bahawa apabila komuniti luar bandar diberi akses dan kemahiran digital, mereka bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup, tetapi juga menyumbang secara aktif dalam ekonomi digital negara. Ini adalah kejayaan bersama rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Projek NADI (Network for the Advancement of Digital Inclusion) telah menyediakan akses internet, latihan kemahiran digital, serta kemudahan infrastruktur ICT kepada ribuan penduduk di kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung – menjadikan mereka sebahagian daripada arus digital nasional.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju lain yang turut memenangi kategori anugerah berprestij WSIS, yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lebih manis, kejayaan ini diraikan ketika delegasi Malaysia turut aktif menyertai perbincangan dan sesi strategik global sepanjang WSIS+20, termasuk dalam agenda keselamatan siber, pembangunan mampan, dan teknologi untuk masyarakat.

Malaysia terus melangkah ke hadapan sebagai negara yang bukan sahaja pengguna teknologi, tetapi peneraju dalam pemerkasaan digital yang adil dan menyeluruh.