PUTRAJAYA, 18 Ogos 2025 – Kementerian Komunikasi menyatakan komitmen penuh menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung usaha membendung budaya buli sejak di peringkat sekolah.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata titah Seri Paduka Baginda memberi peringatan jelas bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan.
Menurut beliau, Kementerian Komunikasi akan memperkukuh usaha membanteras gejala buli melalui beberapa langkah utama termasuk:
- Pelaksanaan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital.
- Tindakan susulan rentas kementerian bagi memastikan mesej antibuli sampai kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu.
- Pengarusperdanaan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat.
“Titah Seri Paduka Baginda selari dengan komitmen Kerajaan MADANI melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk menangani isu buli dengan lebih tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kementerian juga akan memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami kanak-kanak dan remaja, agar generasi muda menghayati nilai hormat-menghormati sejak kecil.
“Saya menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan media, untuk bersama-sama berganding bahu membanteras gejala buli. Hanya melalui kesepakatan menyeluruh kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang,” tegas Fahmi.
