KENYATAAN Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa kemenangan dalam politik adalah lebih utama berbanding menunaikan ibadah umrah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan umat Islam.
Abdul Hadi mengucapkan kata-kata itu ketika menyampaikan ucapan sempena Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Tapah, malam tadi.
Menurut beliau, keputusan itu adalah selari dengan sunnah Rasulullah SAW yang pada suatu ketika juga menangguhkan umrah demi mencapai perjanjian politik strategik — merujuk kepada Perjanjian Hudaibiah.
Dalam perjanjian itu, walaupun Rasulullah SAW dan para sahabat sudah dalam ihram dan berniat untuk menunaikan umrah, mereka akur kepada perjanjian dengan pihak Quraisy dan kembali ke Madinah tanpa melaksanakannya.
Pensyarah Jabatan Syariah Islamiah Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, walaupun Perjanjian Hudaibiah yang berlaku pada tahun ke-6 Hijrah dilihat pada awalnya merugikan umat Islam, tetapi ia kemudian membawa keuntungan besar dalam aspek dakwah dan pengaruh Islam.
Beliau membawakan firman Allah SWT dalam surah Al-Fath, ayat 1 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.”
“Ayat ini turun merujuk kepada Perjanjian Hudaibiah — yang mana ‘penangguhan’ ibadah umrah itu sebenarnya membawa kepada kemenangan politik dan strategik yang lebih besar.
“Hal ini dijadikan hujah oleh Presiden PAS bahawa dalam keadaan tertentu, keutamaan boleh berubah demi maslahat yang lebih besar.
“Namun demikian, kenyataan sebegini perlu difahami dalam konteks yang lebih luas. Islam adalah agama yang menuntut keseimbangan antara urusan dunia dan akhirat, antara ibadah ritual dan tanggungjawab sosial,” ujar Dr. Muhammad Sufi ketika dihubungi.
Tambahnya, Allah Allah SWT berfirman dalam surah Al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia.”
“Ibadah seperti haji dan umrah adalah tuntutan agama yang sangat utama. Umrah, walaupun tidak wajib seperti haji, tetap dianggap sebagai ibadah besar yang sangat dianjurkan (sunat muakkad).
“Justeru, mengabaikan ibadah atas alasan strategi politik perlulah diteliti agar tidak menimbulkan persepsi bahawa politik lebih utama daripada agama secara keseluruhan.
“Apa jua keputusan mesti disandarkan kepada niat yang ikhlas, maslahat umum dan tidak dijadikan alasan untuk menjauhkan diri daripada amalan ibadah yang dituntut,” tegas beliau.
Dr. Muhammad Sufi juga menjelaskan bahawa dalam Islam, politik adalah salah satu jalan (wasilah) untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu keadilan, kebajikan dan penyebaran Islam.
“Ia bukanlah matlamat itu sendiri. Oleh itu, perjuangan politik mesti selari dengan roh dan ajaran agama, bukan menjadikan agama sebagai alat semata-mata untuk kemenangan politik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan firman Allah SWT yang mengatakan: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Nya) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” [Surah al-Anfal, ayat 27]
Jelasnya, daripada ayat tersebut, setiap tindakan yang melibatkan umat khususnya dalam konteks siasah (politik) perlu diletakkan di bawah neraca amanah dan pertimbangan syarak.
“Dalam situasi negara yang aman dan damai seperti Malaysia, umat Islam sebenarnya tidak berhadapan dengan konflik antara ibadah dan politik sebagaimana zaman Rasulullah SAW.
“Hakikatnya kita masih mampu menunaikan ibadah dan pada masa sama terlibat dalam kerja politik atau masyarakat.
“Oleh itu, keutamaan perlu dilihat secara seimbang dan berteraskan maqasid syariah, bukan semata-mata logik politik atau kepentingan parti,” nasihatnya.
Kesimpulannya, Dr. Muhammad Sufi menegaskan bahawa kenyataan yang menyatakan politik lebih utama daripada ibadah seperti umrah perlu diulas dengan penuh hikmah, agar tidak disalahfahami oleh masyarakat awam dan tidak menimbulkan fitnah terhadap Islam sebagai agama yang syumul dan seimbang.
