PUTRAJAYA – Malaysia mengambil langkah proaktif dalam menangani isu tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat dengan mengadakan rundingan bersama pemimpin negara-negara ASEAN.
Malah, negara juga mencapai kesepakatan untuk meneruskan perbincangan dengan Washington demi kepentingan bersama rantau ini.
Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Shigeru Ishiba yang berlangsung petang ini selepas menghadiri Istiadat Sambutan Negara.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Anwar memberitahu, Malaysia juga menyatakan penghargaan atas hasrat dan minat Jepun untuk bersama dalam membangunkan rangkaian ASEAN Power Grid.
“Ruangan sama turut kami sentuh mengenai perkembangan kerjasama dua hala Malaysia-Jepun antaranya mengenai pembangunan sektor tenaga baharu, hidrogen membabitkan Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak.
“Kami juga membincangkan soal bencana gempa bumi di Myanmar yang mana Malaysia sampaikan ucapan takziah kepada PM Ishiba atas kehilangan nyawa rakyat Jepun dalam tragedi tempoh hari.
“Malaysia menghargai usaha Jepun yang turut sama menyalurkan sumbangan bagi membantu pembangunan semula negara berkenaan,” jelas Anwar dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, Anwar juga melahirkan keyakinan bahawa hubungan Malaysia-Jepun akan terus terjalin kukuh berteraskan hormat, kepercayaan serta komitmen jangka panjang kedua-dua negara dalam pelbagai bidang strategik.
