Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, duta-duta asing menyambut baik penjelasan dan keterbukaan Kerajaan Perpaduan terhadap dasar 5G negara.

Menurut hantaran di Facebook rasminya, hal itu adalah kesinambungan daripada sesi taklimat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama duta asing mengenai dasar 5G negara semalam.

“Saya memaklumkan keputusan Kerajaan Perpaduan melaksanakan pendekatan dwirangkaian bagi perkhidmatan 5G sebagai usaha mewujudkan persaingan sihat sekali gus memacu kualiti perkhidmatan telekomunikasi negara.

Pembangunan rangkaian 5G wajar diterajui semula pihak penyedia perkhidmatan apabila pencapaian liputan 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

“Alhamdulillah, duta-duta menyambut baik penjelasan dan keterbukaan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Pada 3 Mei lalu, Fahmi menyatakan bahawa kerajaan akan melancarkan rangkaian 5G kedua melalui entiti baharu yang akan ditubuhkan pada awal tahun 2024.

Beliau menyatakan bahawa pelaksanaan peralihan kepada model dwi-rangkaian akan berlaku dalam keadaan selaras dengan amalan global yang menyediakan kepelbagaian rangkaian.

Sumber: BERNAMA