TAWAU, 7 September 2025 – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) di Tawau, Sabah sebagai sebahagian usaha meningkatkan keberkesanan komunikasi ketika berlaku bencana.

PRIME yang dibangunkan oleh MCMC merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan, direka untuk memastikan rangkaian komunikasi kekal berfungsi semasa krisis. Dengan teknologi satelit, 4G, radio mudah alih, Wi-Fi serta sokongan dron, sistem ini dapat mempercepatkan proses mencari dan menyelamat serta memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan segera.

Menurut Datuk Fahmi, komunikasi pantas dan tepat mampu menyelamatkan banyak nyawa ketika bencana, menjadikan PRIME sebagai inisiatif penting untuk negeri-negeri yang berisiko tinggi.

Dalam lawatan kerja sama, beliau turut meninjau menara komunikasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Kg. Kuala Merotai yang beroperasi sejak September 2024, dengan kelajuan purata 50Mbps memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 penduduk setempat.