Sesi Santai Petang dan Dialog telah diadakan di Dewan Gunung Mat Chinchang Kolej Vokasional Langkawi bersama Perdana Menteri, semalam.
Dalam sesi itu, perdana menteri menyatakan ciri idealisme perlu ada dalam diri golongan muda yang mana memiliki sikap keyakinan dan berminat agar dapat membawa perubahan bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan kepada masyarakat umum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan muda juga tidak boleh memiliki perangai yang lebih teruk daripada golongan dewasa dimana mereka menjadi ‘tali barut’ dengan mempertahankan penyelewengan dan penindasan.
Pelbagai isu semasa diangkat dan dibincang dalam sesi dialog terutamanya menyentuh hal terkait pendidikan, ekonomi dan sosial.
Golongan muda juga diingatkan untuk melihat dan mengkaji sesuatu informasi atau maklumat sebelum membuat keputusan agar tidak menjadi ‘pak turut’ kepada pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas mereka.
“Ada (golongan) anak muda tetapi perangai (mereka) lebih teruk daripada orang tua, ada anak muda tetapi (mereka) menjadi tali barut atau pencacai (dengan mempertahankan penyelewengan dan penindasan).
“Apa erti (kita punya) anak muda sebegitu, menjadi anak muda ikut sahaja (apa yang diperkatakan dan menjadi) sebagai macai (yang) tidak berfikir, ataupun sebagai ‘walaun’.
“Anak muda (yang) kita (mahukan adalah punyai) nilai dari segi keyakinan dan minat hendak bawa perubahan, minat dalam menimba ilmu, minat dan cita-cita membawa kebaikan, itu yang disebut (ciri) idealisme,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berharap agar golongan muda ini tidak mudah diperdaya dengan propaganda politik yang dimainkan oleh pihak tertentu dan perlu dilatih untuk membuat penilaian sendiri dengan baik terhadap sesuatu perkara.
“Begitu juga hak dalam memilih (atau) mengundi, (ada yang dakwa) kalau sokong Anwar, dia akan sokong LGBT, kalau sokong Anwar, (orang) Cina akan berkuasa, (semua) ini tidak betul. “Ini jadi masalahnya (sebenarnya), maknanya kita (semua terutama orang muda) tertipu dengan propaganda politik, (contohnya) pada masa kempen (PRU-15), mereka kata kalau sokong Anwar, Islam akan dibenamkan, (semua itu tidak benar),” katanya lagi.
