PERKHIDMATAN judi dalam talian semakin menjadi isu yang membimbangkan, terutama dengan perkembangan teknologi digital yang pesat.
Ancaman ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang terlibat, malah turut menjejaskan kestabilan keluarga, masyarakat dan ekonomi negara.
Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Digital Negara, Ts Ahmad Tarmizi Abdul Kadir berkata, sebagai pengguna media sosial dan aplikasi mesej internet, beliau melihat judi dalam talian sebagai satu ancaman yang semakin berleluasa.
“Dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknik pemasaran yang canggih, sindiket perjudian menyasarkan golongan muda dan mereka yang mudah terpengaruh.
“Aktiviti ini bukan sahaja menyebabkan ketagihan dan masalah kewangan, malah dikaitkan dengan jenayah seperti pengubahan wang haram serta eksploitasi kewangan,” katanya ketika dihubungi.
Oleh itu, beliau menekankan kepentingan kesedaran masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat bagi membendung gejala ini.
Sebagai ketua keluarga pula, beliau menegaskan bahawa pendidikan awal adalah kunci utama dalam membendung perjudian dalam talian di kalangan ahli keluarga.
“Antara pendekatan yang boleh diambil termasuklah menerapkan nilai moral dan kesedaran kewangan kepada anak-anak.
“Selain itu, pastikan komunikasi dalam keluarga sentiasa terbuka agar anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan ajakan rakan atau iklan di internet.
“Ibu bapa juga perlu memantau aktiviti dalam talian anak-anak serta mengajar mereka untuk berwaspada terhadap iklan atau pautan mencurigakan di samping mewujudkan perbincangan yang jujur mengenai kesan buruk perjudian bagi melindungi keluarga daripada ancaman ini,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi juga menegaskan bahawa perjudian dalam talian memberi kesan kritikal kepada ekonomi dan produktiviti kerja.
“Ramai individu yang terjebak mengalami ketagihan sehingga menjejaskan prestasi kerja dan membuat keputusan kewangan yang buruk.
“Lebih membimbangkan, terdapat kes pekerja menggunakan wang syarikat atau melakukan pecah amanah untuk melangsaikan hutang judi.
“Jika dibiarkan, ia boleh membawa kepada ketidakstabilan sosial serta peningkatan kadar jenayah akibat desakan kewangan pemain yang mengalami kerugian besar,” katanya.
Oleh itu, beliau menyarankan kesedaran dalam sektor pekerjaan serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat bagi mengekang masalah ini.
Tambahnya untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kancah perjudian dalam talian, pengguna media sosial disarankan untuk mengambil langkah-langkah berikut:
- Elakkan mengklik pautan mencurigakan – Sindiket perjudian sering menggunakan iklan yang menjanjikan pulangan lumayan untuk menarik perhatian mangsa.
- Gunakan aplikasi atau perisian penapisan internet – Ini boleh membantu menyekat akses kepada laman sesawang berkaitan perjudian.
- Didik diri mengenai bahaya perjudian – Kesedaran adalah langkah pertama dalam mencegah ketagihan dan kerugian kewangan.
- Laporkan kepada pihak berkuasa – Jika ternampak iklan atau mesej berkaitan judi dalam talian, laporkan kepada pihak berkuasa atau platform media sosial yang berkaitan.
- Sebarkan maklumat mengenai bahaya perjudian – Berkongsi kesedaran dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat boleh membantu mengurangkan risiko orang lain terjerumus dalam gejala ini.
- Pantau aktiviti dalam talian anak-anak – Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka memahami keselamatan digital dan bahaya yang wujud di internet.
Hakikatnya, judi dalam talian bukan sekadar masalah individu tetapi satu ancaman serius kepada masyarakat dan negara.
Justeru, kerjasama antara individu, keluarga, majikan dan pihak berkuasa amat penting dalam membanteras aktiviti ini.
Dengan meningkatkan kesedaran dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya, masyarakat dapat dilindungi daripada bahaya yang dibawa oleh perjudian dalam talian.
