KUALA LUMPUR – Semalam, Kerajaan Malaysia telah memutuskan dan menguatkuasakan serta merta untuk tidak membenarkan kapal yang menggunakan bendera Israel atau dari Israel untuk datang dan berlabuh dimana-mana pelabuhan di negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pada masa yang sama kerajaan juga akan melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi kekejaman berterusan terhadap warga Palestin” kata beliau dalam satu kenyataan, semalam.
Anwar yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia secara menyeluruh dan beliau turut memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan sama sekali syarikat perkapalan yang berpangkal di Israel iaitu ZIM untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara.
“Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dalam mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta-merta” tambahnya lagi.
Anwar juga turut menyatakan sebelum ini Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal syarikat tersebut berlabuh di Malaysia sebelum membenarkan mereka mendarat pada 2005.
“Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu” ujar Anwar.
REAKSI RAKYAT
Kenyataan mengenai keputusan kerajaan itu yang turut dimuat naik di media sosial Facebook rasmi Anwar Ibrahim, menerima reaksi positif warganet, rata-rata dalam ruangan komen menyifatkan tindakan Malaysia wajar menjadi contoh kepada dunia dalam isu kemanusiaan.
Majoriti dalam ruangan komen terdiri dari kata-kata syabas dan tahniah kepada Anwar kerana tegas dan berani membuat keputusan dalam menghalang negara haram Israel menjejakkan kaki dan berlabuh di Malaysia.
Dapat juga dilihat di ruangan komen, ada yang memberi cadangan untuk Malaysia bergabung dengan Indonesia untuk kawal selat melaka dan halang kapal Israel, seperti yang dilakukan oleh Yaman yang memaksa kapal Israel menggunakan jalan jauh.
Tambahan lagi, ada juga mengatakan tindakan Anwar merupakan tindakan dari seorang yang berani dan tidak takut di “lanyak” dan dipenjara.
SUMBER : BERNAMA, BERITA HARIAN




Comments are closed.