KUALA LUMPUR – Kerajaan masih sedang meneliti dan menilai semula subsidi serta bantuan diberikan kepada rakyat, termasuk berkait petrol RON95, menurut Kementerian Ekonomi.
Kementerian itu menjelaskan, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif terbabit dapat berjalan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat.
“Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95.
“Bagaimanapun buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, semalam.
Menurut kementerian itu lagi, sesi libat urus dengan pihak berkepentingan juga akan diadakan bagi memastikan setiap aspek diambil kira, termasuk garis masa pelaksanaan dan mekanisme bersesuaian untuk membolehkan rakyat yang terkesan, menerima manfaat yang sewajarnya.
Kementerian Ekonomi memaklumkan, pelbagai cadangan sedang dipertimbangkan oleh kerajaan berdasarkan keperluan fungsian yang dijalan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
“Selain itu, pengagihan bantuan sosial juga sedang dikaji bagi memastikan rakyat, khususnya penerima bantuan, tidak terlalu terbeban dengan jangkaan kenaikan harga barangan apabila kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi,” katanya.
Kementerian Ekonomi menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi petrol dan diesel, termasuk garis masa pelaksanaan, implikasi kewangan yang terbabit serta pendekatan.
Kementerian itu menekankan bagaimanapun, sebarang keputusan diambil kerajaan akan disampaikan dengan jelas kepada rakyat bagi mengelak kekeliruan terhadap perancangan dasar yang dilaksanakan.
“Kerajaan juga telah merancang beberapa inisiatif bagi memastikan kuasa beli rakyat dapat dikekalkan. Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempergiat usaha untuk menangani kos sara hidup supaya kuasa beli serta kesejahteraan rakyat tidak terjejas,” katanya.
SUMBER : BERNAMA
