KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Malaysia sekali lagi membuktikan peranan aktifnya di pentas serantau apabila berjaya menjadi perantara dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang berdepan ketegangan baru-baru ini. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kejayaan ini didorong oleh pentadbiran negara yang stabil dan diyakini dunia sebagai rakan diplomasi yang berwibawa.
“Keamanan serantau adalah kepentingan bersama. Malaysia berperanan memastikan konflik dua negara jiran ini dapat dikawal agar tidak menjejaskan kestabilan ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri satu program rasmi di ibu negara.
Peranan Malaysia sebagai penyelaras genjatan senjata itu bukan sahaja diiktiraf oleh kedua-dua negara terbabit, malah mendapat perhatian negara anggota ASEAN lain. Rundingan yang berlangsung di Jakarta minggu lalu berjaya menghasilkan komitmen awal untuk menghentikan ketegangan di sempadan.
Anwar berkata, pendekatan Malaysia menekankan prinsip dialog, saling hormat dan mencari titik persefahaman tanpa campur tangan luar. “Kita bukan hanya ingin melihat keamanan di rantau ini, tetapi juga memastikan kestabilan politik dan ekonomi ASEAN tidak tergugat,” ujarnya.
Keberhasilan ini sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali yang proaktif, selari dengan aspirasi menjadikan ASEAN zon aman, bebas dan neutral di mata dunia.
