KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Kerajaan komited memulihkan imej sekolah pondok sebagai pusat pendidikan Islam yang relevan dengan keperluan semasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurutnya, Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dalam usaha menaik taraf institusi itu, termasuk memperkenalkan teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI) kepada pelajar.
Berucap pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Anwar menegaskan penguasaan ilmu kontemporari penting agar sekolah pondok kekal relevan dalam mendidik generasi baharu. “Kita ingin sekolah pondok bukan sahaja unggul dalam pengajian agama, tetapi juga melahirkan pelajar yang celik teknologi dan mampu bersaing dalam dunia moden,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama MOF dan JAKIM akan melibatkan pembangunan infrastruktur, kemudahan pembelajaran digital, serta latihan untuk guru dan pelajar bagi menyesuaikan diri dengan era kecerdasan buatan. Langkah ini dijangka membuka lembaran baharu pendidikan pondok, sekali gus memperkasa imejnya di mata masyarakat tempatan dan antarabangsa.
(Foto Bernama)
