KUALA LUMPUR, 9 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal berpegang kepada prinsip rundingan dan diplomasi dalam menangani sebarang pertikaian berkaitan Laut China Selatan, sejajar dengan pendekatan yang turut diambil oleh negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama saluran berita antarabangsa France 24 baru-baru ini, Anwar menekankan bahawa Malaysia tidak memilih konfrontasi sebagai jalan penyelesaian, sebaliknya sentiasa mengutamakan dialog dan kerjasama serantau.

“Malaysia kekal komited menyelesaikan isu Laut China Selatan secara aman sebagaimana kita lakukan dengan negara jiran lain seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam. Rundingan sentiasa jadi keutamaan, bukan ketegangan,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika ketegangan di perairan strategik berkenaan terus mendapat perhatian antarabangsa, terutamanya melibatkan tuntutan bertindih oleh beberapa negara ASEAN serta China.

Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan diplomatik mampu menghasilkan penyelesaian yang adil dan lestari, selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Malaysia sebelum ini juga terlibat aktif dalam usaha mengukuhkan kerjasama serantau melalui ASEAN, termasuk dalam memperkukuh Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan yang kini masih dalam proses perundingan.

Pendekatan Malaysia yang konsisten menolak ketegangan bersenjata dan memilih meja rundingan dianggap sebagai landasan terbaik untuk memastikan kestabilan, keselamatan dan kemakmuran jangka panjang di rantau ini.