GENEVA, 8 Julai – Kejelasan serta kestabilan dasar kerajaan Malaysia menjadi faktor utama yang terus menarik minat pelabur asing ke negara ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, pelabur asing kini memberi perhatian serius terhadap ketelusan dasar dan kestabilan politik sesebuah negara sebelum membuat keputusan pelaburan — dan Malaysia berada dalam kedudukan yang meyakinkan.
“Kejelasan dan kestabilan dasar ini menjadi daya tarikan utama kepada pelabur. Mereka yakin bahawa dasar-dasar ini tidak akan diubah secara sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui di Geneva sempena penyertaan Malaysia dalam WSIS+20 High-Level Event.
Antara dasar yang menjadi tonggak utama keyakinan pelabur termasuk:
• Rancangan Malaysia,
• Kerangka Ekonomi MADANI,
• Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dan
• Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Tambah Fahmi, pendekatan kerajaan dalam merangka dasar bukan sahaja inklusif tetapi berlandaskan perancangan jangka panjang yang menyeluruh dan mampan.
“Pelabur hari ini bukan sekadar cari peluang untung, tetapi juga kestabilan, predictability dan komitmen kerajaan dalam menjamin kelangsungan dasar,” jelas beliau lagi.
Malaysia kini berada dalam landasan strategik untuk terus menjadi destinasi pelaburan utama di rantau ini, apatah lagi dengan peningkatan keyakinan global terhadap komitmen negara dalam pembangunan ekonomi digital, transformasi industri dan kelestarian tenaga.
