PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa marah terhadap tindakan Meta, penyedia platform media sosial, yang sekali lagi menghapuskan hantaran berkaitan kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Anwar menyatakan bahawa tindakan Meta ini adalah satu perbuatan biadab dan merupakan penghinaan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Adalah tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.
“Peringatan tegas saya terhadap Meta, usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!” ujar Anwar dalam kenyataan dalam akaun Facebook miliknya.
Sebelum ini, hantaran Anwar di Instagram mengenai pertemuan dengan Ismail, 61, di Qatar, Mei lalu turut diturunkan Meta pada Selasa.
Justeru, kerajaan menuntut penjelasan dan permohonan maaf daripada syarikat tersebut.
SUMBER : SINAR HARIAN
