Pelakon Michelle Yeoh yang pulang ke Malaysia, selepas dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi bulan lalu, melawat pejabat Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.
Berkongsi mengenai kunjungan itu di Facebook, Anwar berkata Yeoh antara lain mengimbau jatuh bangun perjalanan hidupnya dalam dunia hiburan sehingga ke hari ini.
“Beliau juga meninggalkan mesej bahawa kejayaan gemilang anugerah Oscar amat bermakna buat dirinya, keluarga dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Pencapaiannya berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
“Saya doakan anda berjaya dan terus berjaya,” kata Anwar.
Pada Mac lalu, anak kelahiran Ipoh berusia 60 tahun itu mencipta sejarah apabila menjadi pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Akademi atau Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, menerusi wataknya sebagai Evelyn Wang dalam filem Everything Everywhere All at Once.
“Saya tahu ada pembikin filem hebat dari bahagian dunia kita ini dan kita hanya perlu, pertama sekali, kita perlu mencipta peluang untuk mereka. Kita perlu mencipta platform yang akan mempamerkan bakat mereka,” katanya dipetik sebagai berkata.
