WASHINGTON – Pengasas Neuralink, Elon Musk, berkata syarikatnya buat pertama kali dalam sejarah berjaya memasang cip pada otak manusia semalam dan penerimanya beransur pulih dalam keadaan baik.
Bilionair terkemuka yang juga menimbulkan kontroversi sewaktu membeli Twitter dan menukar namanya menjadi X, memaklumkan bahawa kejayaan syarikat pemula cip otak itu memasang cip yang bernama ‘Telepathy’ pada otak manusia di media sosial miliknya.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat memberi kebenaran kepada syarikat terbabit pada tahun lalu untuk menjalankan ujian klinikal pertama pada manusia.
“Keputusan awal menunjukkan perkembangan baik dan kemunculan pepaku neuron dikesan” kata Musk.
Usaha syarikat pemula itu, PRIME Study adalah percubaan terhadap hubungan tanpa wayar antara komputer dan otak bagi menilai keselamatan pemasangan cip serta robot surgikal, menurut laporan di laman sesawang syarikat.
Kajian itu akan menilai keupayaan hubungan itu bagi membantu mangsa yang mengalami kecacatan atau lumpuh kesemua empat anggota badan untuk mengawal alat bantuan yang mereka gunakan menerusi fikiran masing-masing.
Ditubuhkan pada 2016, syarikat yang dimilik Musk itu mempunyai matlamat yakni mewujudkan hubungan langsung antara otak manusia dan komputer.
Sasaran utama mereka pula adalah untuk menambah baik keupayaan manusia bagi merawat masalah neurologi seperti penyakit ALS atau Parkinson, dan harapan mereka pada suatu hari nanti supaya dapat mewujudkan hubungan simbiotik antara manusia dan kecerdasan buatan (AI).
Sebahagian besar daripada teknologi Neuralink beroperasi menerusi ‘implan’ atau pemasangan cip dipanggil ‘Link’, peranti yang saiznya hampir sama dengan susunan lima duit syiling dan akan diletakkan di dalam otak manusia menerusi pembedahan.
Kerjasama antara Musk dan pembuat implan dari Australia, Synchron masih terjadi meskipun berdepan beberapa kelewatan.
Implan milik syarikat Synchron tidak memerlukan pembedahan untuk memasangnya seperti Neuralink dan ianya sudah pun mendapat kelulusan hak cipta AS pada Julai 2022.
Untuk tambahan info pembaca, Elon Musk pada akhir tahun lepas terpalit lagi dalam satu kontroversi dimana beliau mengatakan ingin menghantar Starlink di Gaza namun dibantah oleh negara haram Israel yang mengawal Gaza. – DI SINI
Berita mengenai Starlink terus hilang dan syarikat telekomunikasi di Gaza sendiri yang memulihkan rangkaian internet di sana.
