
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan secara maya dengan usahawan aeroangkasa terkemuka dunia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX dan Tesla Inc, Elon Musk pada Jumaat.
Dalam persidangan video tersebut, PM Anwar mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat itu di negara ini dan juga kesediaan usahawan tersebut untuk datang ke Malaysia.
Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah atas pembukaan ibu pejabat Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini selain menyatakan sokongan untuk usaha sebegitu.
Selain itu, mereka turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink di Malaysia.
Perkhidmatan itu mampu menyumbang kepada capaian internet lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minimum bagi meningkatkan rangkaian internet global.
Perdana Menteri berkata, Saya mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke Malaysia. Turut mengucap tahniah dan dokongan Kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini.
Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050. Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.
Kami turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.
Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan.
Sumber : KENYATAAN MEDIA YAB PERDANA MENTERI
