KUALA TERENGGANU, 13 Julai 2025 – Komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasa pendidikan negara terus dizahirkan apabila sejumlah RM5.27 juta diperuntukkan khusus untuk program Tuisyen MADANI di Terengganu — sekali gus mengiktiraf potensi besar pelajar negeri itu dalam mencapai kecemerlangan akademik.

Program yang menyasarkan pelajar daripada keluarga B40 dan miskin tegar ini merupakan antara langkah proaktif Kerajaan Perpaduan dalam merapatkan jurang pendidikan luar bandar, terutama di kawasan pedalaman dan desa pesisir pantai negeri ini.

Perdana Menteri dalam kenyataannya menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan bukan sekadar memenuhi dasar, tetapi satu kepercayaan bahawa setiap anak Malaysia berhak mendapat peluang yang adil untuk berjaya.

“Anak-anak Terengganu telah membuktikan mereka mampu cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa. Dengan bantuan seperti Tuisyen MADANI, kita bukan hanya membuka peluang, tetapi juga membina masa depan negara,” ujar beliau.

Setakat ini, lebih 12,000 pelajar dijangka mendapat manfaat langsung daripada inisiatif ini, termasuk bimbingan intensif bagi peperiksaan utama seperti SPM dan STPM.

Langkah ini turut disambut baik oleh pendidik dan ibu bapa yang melihat ia sebagai suntikan semangat serta pengiktirafan kepada keupayaan intelektual anak-anak Terengganu.

Dengan peruntukan ini, Terengganu kekal di barisan hadapan dalam agenda pendidikan negara, sekaligus membuktikan bahawa kecemerlangan bukan hanya milik kota — tetapi juga milik anak desa yang diberi peluang dan sokongan sewajarnya