PUTRAJAYA, 18 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan agresif Israel yang disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta perjanjian sempadan yang dimeterai pada tahun 1974 antara Israel dan Syria.
Menurut Anwar, serangan itu bukan sahaja mengancam kedaulatan wilayah tetapi turut menjejaskan kestabilan serantau yang sedia tegang.
“Serangan ini adalah perlanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Sempadan 1974. Ia mencetuskan risiko lebih besar terhadap keamanan global,” tegas beliau.
Malaysia terus menzahirkan solidariti bersama Syria dan menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap pencerobohan yang berterusan oleh rejim Zionis.
Kenyataan ini memperkukuh pendirian konsisten Malaysia dalam memperjuangkan keadilan sejagat serta menentang sebarang bentuk penindasan terhadap negara berdaulat.
