KUALA LUMPUR, 24 Jul – Dalam satu langkah yang mencerminkan keterbukaan demokrasi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan kerjasama penuh bagi memastikan Himpunan ‘Turun Anwar’ yang dijadualkan Sabtu ini berlangsung dengan aman dan teratur.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, arahan itu bertujuan memastikan hak rakyat untuk berhimpun dilindungi, selaras dengan semangat kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Madani meraikan suara rakyat. Selagi perhimpunan diadakan mengikut lunas undang-undang dan tidak menjejaskan keselamatan awam, PDRM perlu memberi kerjasama untuk memastikan kelancarannya,” kata Setiausaha Akhbar Kanan PMO, Tunku Nashrul Tunku Abaidah.

Difahamkan, PDRM akan mengerahkan lebih 2,000 anggota bagi mengawal keselamatan dan trafik di sekitar lokasi perhimpunan yang dijangka dihadiri 10,000 peserta.

Pendekatan ini dianggap unik, kerana meskipun himpunan itu bertujuan mendesak peletakan jawatan beliau, Anwar dilihat tetap menghormati prinsip demokrasi dengan mengutamakan keselamatan rakyat.

“Kita tidak boleh takut kepada suara rakyat. Demokrasi akan subur bila kita menghormati pandangan berbeza,” tambah PMO.

Himpunan ‘Turun Anwar’ yang dianjurkan oleh PAS itu dijangka menjadi perhatian nasional, dan tindakan PM Anwar ini mendapat pujian sebagai langkah yang memperkukuh imej kerajaan sebagai inklusif serta berjiwa rakyat.