KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan penuh Malaysia yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin ketika dihubungi oleh Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

Menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook, Anwar berkata bahawa beliau menyokong sepenuhnya untuk penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir serta menghentikan segera pengeboman bertubi-tubi Israel di Gaza.

“Israel perlu meninggalkan kepatuhan mereka kepada politik perampasan, serta-merta gencatan senjata dengan Hamas dan benar-benar mengejar resolusi aman untuk menamatkan konflik yang berterusan.

“Adalah penting untuk mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas oleh krisis ini,” katanya pada Isnin.

Dalam kenyataan yang sama, Anwar turut nyatakan bahawa Malaysia sangat komited dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan khususnya dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Setakat pagi Selasa, serangan pengeboman Israel sejak 10 hari lalu telah mengorbankan nyawa seramai 2,670 orang rakyat Palestin termasuk 750 kanak-kanak. Manakala jumlah mangsa yang cedera pula meningkat kepada 9,600 orang.

Pada saat ini, keadaan di Gaza semakin buruk dengan bekalan air, makanan, elektrik, dan ubat-ubatan yang tidak mencukupi untuk menampung 2.3 juta penduduk Palestin.

Sumber: Astro Awani