KUALA LUMPUR – Selepas konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour dijalankan 22 November yang lalu, keadaan Stadium Nasional Bukit Jalil telah menjadi “botak” dan masih belum dalam keadaan pulih sepenuhnya.
Sebelum kerosakan tersebut, rumput Stadium Nasional Bukit Jalil telah ditukarkan jenis rumput dari rumput Cow Grass kepada Zeon Zoysia dan ia dikatakan mengambil masa untuk pulih.
Rumput baru tersebut digunakan buat pertama kali apabila Malaysia menentang India tempoh hari dalam perlawanan Pestabola Merdeka dan mendapat kritikan yang teruk kerana rumput tersebut belum matang.
Keadaan rumput bertambah baik apabila stadium tersebut digunakan oleh pasukan Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Sejurus selepas kerosakan stadium tersebut, peminat sukan bola sepak tanah air dan bekas pemain kebangsaan telah meluahkan rasa tidak puas hati dengan keadaan stadium tersebut dan mencadangkan untuk menukar tempat final Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 8 Disember 2023, jumaat ini.
Tambahan lagi, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang merupakan pencetus dan penaja utama untuk pertukaran rumput tersebut juga meluahkan rasa geram dalam hantarannya baru-baru ini di platform rasmi Instagram miliknya dan memetik nama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac dengan kapsyennya “Standard yang baik untuk perlawanan akhir Piala Malaysia. Nampaknya formula anda berkesan”.
PENDAPAT PEMINAT BERKENAAN KEADAAN STADIUM
Berdasarkan undian yang dilihat pada jam 2.30 petang semalam di platform Facebook dan X rasmi Berita Harian, 62% majoriti undi menunjukkan ramai peminat sukan tersebut bersepakat untuk menukar tempat perlawanan final Piala Malaysia tersebut.
Manakala 22% menyatakan keadaan padang bukan penghalang kerana “skill” pemain lagi penting dan 17% yang selebihnya berkata bahawa pemain bola professional tidak boleh bermain dengan keadaan padang sebegitu.
Secara kesimpulannya, majoriti dari peminat sendiri tidak bersetuju dengan keputusan bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil atas faktor-faktor yang disebutkan di atas.
PENDAPAT BEKAS PEMAIN KEBANGSAAN
Hasnizam Uzir, bekas penyerang skuad Harimau Malaya dan Johor FA turut memberi pendapat berkenaan keadaan stadium tersebut.
“Memang betul bola sepak perlukan padang yang terbaik terutamanya perlawanan akhir tetapi situasi sekarang, padang SBNJ akan menyukarkan kedua-dua pemain untuk bermain mengikut falsafah ditetapkan.
Kita tahu JDT dan TFC banyak bermain dengan hantaran pendek dan bermain dengan lebih teknikal jadi keadaan padang yang tidak elok itu akan mengganggu perancangan kedua-dua jurulatih.
Untuk permainan menghiburkan, pemain perlu tunjukkan kemahiran, membuat keputusan dan golekan bola adalah amat penting.” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau menekankan bahawa padang yang berkualiti tidak hanya memastikan pemain mendapat sentuhan pertama yang baik, malah dapat mencegah kecederaan.
Sebagai atlet yang mahir dengan kemahiran dan strategi yang baik, keadaan padang yang buruk boleh merosakkan semangat dan keyakinan pemain.
“Jika pemain sedang berlari dan tiba-tiba terdapat lubang di padang, ini bukan sahaja membahayakan buku lali pemain tetapi juga boleh merosakkan permainan secara keseluruhan”, luahnya lagi.
SUMBER : ASTRO AWANI, BERITA HARIAN

