IPOH : Perdana Menteri mengumumkan peruntukan permulaan RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena HAWANA 2023 bagi menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.
Dalam pada itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan daripada tabung berkenaan kepada tiga wartawan veteran di Perak iaitu bekas pemberita bebas Ou So Ha @ Ou Kok Meng, 74, pemberita sambilan akhbar Tamil Malar V Maniam, 76 dan Editor portal berita Independent.my Haron Shafei, 65.
Terdahulu di bawah inisiatif sama Haslinda Ahmad, balu kepada jurukamera TV3 Perak, Allahyarham Rosli Abu Bakar, turut menerima sumbangan itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penggiat media negara ini berusaha memupuk kesedaran dalam usaha mewujudkan budaya baharu dalam industri kewartawanan.
Menyingkap teladan ditonjolkan tokoh wartawan terdahulu, Perdana Menteri berkata, nilai yang mereka pupuk dalam kerja dibuat berdasarkan prinsip dan nilai yang boleh memberi manfaat kepada rakyat, apabila terarah menjadi pencetus kesedaran kebangsaan.
Beliau berkata, wartawan zaman dulu juga berperanan sebagai penggagas idea, selain bertindak menjadi pencetus gerakan perubahan.
“Kita singkap sebentar liputan bersejarah wartawan Perak tetapi kita sedia maklum, wartawan di negara kita sebenarnya juga adalah penggalas idea, pencetus semangat kemerdekaan, penyemai benih kesederhanaan dan pengislahan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peranan industri persuratkhabaran negara masih relevan, sekali gus mewajarkan penerbitan naskhah itu dalam kancah media hari ini.
Meskipun teknologi berevolusi ditambah pula kewujudan banyak platform media sosial yang turut memaparkan berita terkini, Perdana Menteri berkata, beliau masih memilih untuk membaca akhbar secara fizikal.
Bagi memastikan industri persuratkhabaran kekal relevan dan tidak ‘pupus’, beliau menggesa penggiat industri itu, menggarap nilai integriti yang tinggi, selain mengekalkan kualiti penerbitan berita dalam setiap naskhah.
“Saya masih setiap hari melihat perkembangan media sosial. Saya membaca surat khabar…satu perkara yang wajib saya teruskan.
“Saya masih memiliki pandangan, surat khabar masih mempunyai peranan yang tinggi dan wajar.
“Saya terbaca satu keputusan baharu di Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan bahawa pandangan beberapa media kalau dipertahankan integriti, mutu mampu bertahan.
“Saya masih mewakili fikiran lama, saya masih setiap hari selain melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya masih wajib membaca surat khabar setiap hari,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Timbalannya Teo Nie Ching.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi.
Bertemakan “Media Bebas Tunjang Demokrasi”, kira-kira 1,000 pengamal media menghadiri majlis yang diadakan untuk mengiktiraf peranan media itu.
Sumber : AWANI
