Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentang dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan laman rasmi Parlimen, usul Kertas Putih itu dijadual dikemukakan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa selepas berakhirnya sesi perbahasan dan penggulungan usul Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Sebanyak 17 Ahli Parlimen sempat membahaskan usul Laporan Suhakam sebelum mesyuarat ditangguh semalam, manakala lima lagi akan menyambung perbahasan sebelum sesi penggulungan hari ini.
Ia adalah permulaan kepada usaha mereformasikan isu-isu dalam sistem perkhidmatan kesihatan awam secara berfasa dalam tempoh 15 tahun. Sebelum ini, sistem kesihatan negara berdepan dengan cabaran peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan susulan beban penyakit berganda dan masyarakat dijangka mencapai status populasi tua pada 2030.
Dr Zaliha dilapor mengesahkan bahawa Kertas Putih Kesihatan yang merangkumi dasar komprehensif dalam mereformasikan sistem kesihatan untuk dilaksana secara berperingkat selama 15 tahun dipersetujui Kabinet untuk dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat, minggu ini.
Sementara itu, antara yang menjadi tumpuan dalam sesi soal jawab hari ini ialah pertanyaan daripada Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 dan memperuntukkan baucar kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk menyertai pelan perlindungan.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 11 hari dan akan berakhir esok.
– BERNAMA & Utusan Malaysia
