Walaupun dengan ketiadaan Cristiano Ronaldo yang digantung perlawanan akibat pengumpulan kad kuning dalam perlawanan Kumpulan J sebelum ini, skuad bimbingan Roberto Martinez beraksi cemerlang dengan meledak sebanyak 9 gol ke dalam pintu gol Luxembourg pada perlawanan kelayakan EURO 2024 yang berlangsung hari ini.
Gonçalo Inácio, Gonçalo Ramos dan penyerang Liverpool Diogo Jota, masing masing menjaringkan 2 gol dalam perlawanan tersebut.
Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes turut mempamerkan prestasi yang baik sepanjang perlawanan berlangsung dengan membantu 3 gol untuk dijaringkan dan memastikan 1 gol di atas namanya.
Ricardo Hota dan João Félix juga menyambung kesengsaraan Luxembourg dengan menjaringkan 1 gol untuk diri mereka.
Walaupun bagaimanapun, pemain Atletico Madrid tersebut, João Félix sering dikaitkan dengan kegagalan kerana prestasi yang tidak menentu dan tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama di kelab tersebut, sekaligus menyebabkan beliau dipinjamkan keluar ke Barcelona untuk musim ini.
IMPAK JOAO FELIX DALAM SKUAD PORTUGAL DAN BARCELONA
Berdasarkan artikel planetsport.com, Roberto Martinez menyatakan beliau mempunyai keyakinan terhadap impak João Félix dalam skuad Barcelona yang dikendalikan oleh Xavi pada musim ini.
“Joao Felix teruja dengan peluang ini. Dia memiliki kemahiran teknikal yang luar biasa dan sejajar dengan falsafah bola sepak Barcelona dan Xavi.”
“Walaupun tanpa kecergasan perlawanan, dia penting untuk persiapan kami, bukan sahaja untuk perlawanan seterusnya, tetapi untuk empat perlawanan seterusnya. Saya percaya dia akan memainkan peranan penting bersama Xavi dan Barcelona.” ujar beliau.
Jurulatih Portugal yang berasal dari Sepanyol tersebut boleh dikatakan baru sahaja dilantik pada awal tahun 9 Januari 2023 yang menggantikan Fernando Santos selepas Piala Dunia Qatar 2022, telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan mengungguli Kumpulan J dengan lima mata mengatasi Slovakia di tempat kedua.
Portugal juga memiliki rekod bersih 100 peratus didalam kelayakan Euro 2024 tanpa kekalahan semenjak beliau menjadi jurulatih.
Dalam 21 pertemuan antara Portugal dan Luxembourg, hanya 1 perlawanan sahaja yang dimenangi oleh pihak Luxembourg, iaitu pada 8 October 1961 di dalam Piala Dunia. Portugal pula memenangi kesemua 19 perlawanan kecuali 1 dimana mereka mendapat seri ketika perlawanan persahabatan pada 12 Oktober 1991, dengan keputusan 1-1.
