NEGERI SEMBILAN – Video penampakan harimau kumbang pada 22 Februari hari yang lalu di Kampung Panglang, Seri Menanti menimbulkan perbualan hangat di media sosial.
Video yang berdurasi 50 saat itu dirakam dari kamera “dashcam” pada 22 Februari dan tular sehingga ke hari ini.
Harimau kumbang tersebut dipercayai melintas jalan di hujung kampung, berdekatan dengan kebun getah yang dimilik oleh penduduk disitu.
Walau bagaimanapun, pemilik rakaman “dashcam” berkenaan tidak dapat dipastikan setakat ini, sama ada dia penduduk tempatan ataupun orang luar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tengah Ulu, Dahlan Alias berkata sebelum tular video rakaman dashcam itu, Kampung Panglang pernah menghadapi perkara yang sama apabila binatang buas pernah ditangkap berdekatan kawasan kampung tersebut.
Tambahan pula, ada kes berkaitan lima ekor kambing milik penduduk disyaki dibaham harimau pada 16 Februari yang lalu.
Menurutnya, satu laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengenai harimau tersebut sudah pun dibuat.
“Kemunculan harimau itu bukan perkara baharu berikutan binatang buas itu pernah ditangkap beberapa tahun lalu di kampung ini.
“Kita berharap penduduk kampung sentiasa berhati-hati selain tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya terus melaporkan kepada JPKK atau Perhilitan supaya ada tindakan segera dapat dilakukan,”ujarnya, dua hari yang lepas.
Tambahnya lagi, Dahlan berkata harimau kumbang kebiasaanya muncul di kawasan hujung kampung yang berhampiran dengan kebun, kawasan semak atau hutan.
SUMBER : BULETIN TV3
