KUALA LUMPUR – Inisiatif kerajaan untuk memberi diskaun tol 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya di seluruh negara sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat.

Diskaun itu akan berkuat kuasa pada 28 Januari 2025 bermula jam 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada hari yang sama.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Kerja Raya, langkah ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk meraikan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia serta memastikan sambutan perayaan dapat diraikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Pengurus Kredit sebuah institusi kewangan, Aziana Othman berkata, keputusan kerajaan memberi diskaun tol itu secara tidak langsung dapat membantu rakyat menjimatkan kos perjalanan, khususnya bagi mereka yang merancang untuk pulang ke kampung.

“Melalui penjimatan ini, rakyat dapat memperuntukkan lebih banyak wang untuk keperluan lain seperti makanan, hadiah dan perbelanjaan buat keluarga tersayang,” katanya.

Di samping itu beliau berkata, ia juga menjadi satu bentuk bantuan langsung kepada pengguna lebuh raya.

“Malah, pada waktu yang sama ia turut menjadi bantuan kepada rakyat yang lainnya apabila kerajaan dapat memperuntukkan lebihan kepada yang golongan bersasar dan utama,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, khalayak turut menyambut baik pengumuman kerajaan berkenaan.

Bagi Mohd Turmadzi Madun, pengurangan separuh harga bagi pembayaran tol sangat membantu dalam mengurangkan jumlah perbelanjaan untuk pulang ke kampung.

“Walaupun jumlahnya mungkin kecil, tetapi ia tetap ada manfaat buat rakyat,” ujarnya.

Apa yang pasti, langkah memberikan diskaun tol itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha meraikan rakyat.

Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, bukan sahaja untuk perayaan tertentu tetapi juga bagi membantu rakyat dalam pelbagai situasi.