RIO DE JANEIRO, 7 Julai – Lawatan rasmi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil bermula 1 Julai lalu disifatkan mencapai kejayaan signifikan dalam pelbagai bidang melibatkan kepentingan strategik negara.

Menurut YAB Perdana Menteri, lawatan tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik dua hala, malah membuka ruang kerjasama baharu dalam usaha menarik pelaburan asing, memperluas perdagangan serta memperkukuh kehadiran Malaysia di peringkat global.

“Setiap pertemuan dan perbincangan yang diadakan sepanjang lawatan ini telah membuahkan hasil yang positif, khususnya dalam sektor pelaburan, teknologi, pendidikan dan ekonomi hijau. Ia mencerminkan komitmen kita untuk terus menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik utama kepada negara-negara rakan,” ujar beliau.

Di Itali dan Perancis, Malaysia berjaya mengadakan rundingan penting melibatkan kerjasama dalam sektor inovasi, industri pertahanan, tenaga boleh diperbaharui dan pelaburan berimpak tinggi. Sementara di Brazil, Malaysia menzahirkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan serta mengukuhkan penyertaan dalam dialog ekonomi melalui Sidang Kemuncak BRICS Ke-17.

Kehadiran Perdana Menteri di ketiga-tiga negara ini turut dilihat sebagai manifestasi kesungguhan Malaysia untuk meningkatkan daya saing negara, menarik keyakinan pelabur asing serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa selaras dengan dasar luar negara yang progresif dan berpaksikan kepentingan rakyat