PUTRAJAYA, 22 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia akan terus memperjuangkan kepentingan wilayahnya dalam isu Ambalat, sambil memastikan rundingan dengan Indonesia berlangsung secara diplomatik dan strategik.
Apa yang lebih menarik, Anwar mendedahkan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan turut serta dalam perbincangan rasmi bersama kerajaan Indonesia bagi mewakili suara dan sentimen rakyat Sabah.
“Saya akan bawa Ketua Menteri Sabah bersama untuk berunding dengan Presiden Indonesia. Kita akan bincang secara baik dan diplomatik,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Langkah ini disifatkan sebagai isyarat jelas bahawa kerajaan Persekutuan serius melibatkan negeri dalam hal-hal yang berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara.
Isu Ambalat, kawasan maritim yang terletak di sempadan perairan antara Sabah dan Kalimantan, telah menjadi pertikaian lama antara Malaysia dan Indonesia berhubung hak pemilikan serta kawalan terhadap kawasan kaya sumber itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus mempertahankan setiap inci hak wilayahnya namun dalam masa yang sama mengutamakan hubungan baik dan persefahaman bersama negara jiran.
“Ini bukan soal kita mahu bergaduh. Tapi soal kita mahu pertahan apa yang menjadi hak kita,” tambah Anwar.
Keputusan membawa bersama Hajiji dilihat sebagai pendekatan inklusif yang mencerminkan semangat federalisme dan keterlibatan negeri dalam isu-isu geopolitik penting.
