PUTRAJAYA, 23 Julai 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa inisiatif baharu Kerajaan Madani yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung pagi ini, Anwar memaklumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama 2025 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus, dan dijangka meningkat kepada 4.5 peratus pada suku kedua berdasarkan unjuran semasa.

Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk:

Pelancaran Program Sejahtera MADANI – 24 Julai 2025

Program Sejahtera MADANI akan mula dilancarkan esok bagi memperkukuh jaringan sosial dan ekonomi rakyat. Di bawah program ini, kampung-kampung seluruh negara akan menerima peruntukan RM100,000 setiap satu bagi menjana aktiviti ekonomi setempat melalui inisiatif Program Sejati MADANI.

RM100 Tunai untuk Semua Warganegara 18 Tahun Ke Atas

Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, kerajaan akan memberikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara tunai kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos 2025.

Tol Tidak Naik, Kerajaan Tanggung Kos RM500 Juta

Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol sebagai langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup. Langkah ini akan melibatkan peruntukan RM500 juta yang akan ditanggung oleh kerajaan.

Jualan Rahmah Diperluas ke Semua DUN

Program Jualan Rahmah MADANI akan diperluas ke kesemua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan tambahan peruntukan hingga RM600 juta, bagi memastikan barangan keperluan asas dijual pada harga lebih rendah di seluruh negara.

RON95 Turun Harga Kepada RM1.99 Seliter

Dalam langkah yang disambut baik rakyat, harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter, berkuat kuasa dalam masa terdekat.

Hari Cuti Tambahan Sempena Hari Malaysia

Kerajaan turut mengumumkan bahawa 15 September 2025 akan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia

Pelaburan Tertinggi Dalam Sejarah

Malaysia mencatat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384 bilion pada tahun 2024, meningkat sebanyak 17 peratus berbanding 2023. PM menjangka angka ini akan terus melonjak pada 2025 selaras dengan keyakinan pelabur terhadap dasar-dasar kerajaan.

Pelancaran RMK-13 – 31 Julai 2025

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) akan dilancarkan pada 31 Julai 2025, yang akan menjadi pelan strategik negara bagi memperkasa ekonomi rakyat dan menjana pertumbuhan mampan.

Pengumuman ini disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat yang menganggapnya sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Madani dalam memperjuangkan nasib rakyat serta mengukuhkan asas ekonomi negara