KUALA LUMPUR, 23 Julai – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti jelas bahawa kerajaan Madani sentiasa mendengar dan memahami denyut nadi rakyat.
Menurutnya, pelbagai inisiatif yang diumumkan, termasuk di bawah kerangka Program Sejahtera MADANI, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat serta merapatkan jurang sosioekonomi, terutamanya golongan B40 dan M40.
“Pengumuman yang dibuat bukan retorik, tetapi hasil daripada sesi libat urus, dapatan data serta maklum balas rakyat di lapangan. Ini membuktikan kerajaan hari ini benar-benar peka terhadap keperluan semasa rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi turut menambah, usaha yang sedang digerakkan oleh Perdana Menteri merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan jangka sederhana dan panjang bagi memastikan ekonomi negara terus mampan serta tidak meninggalkan mana-mana kelompok masyarakat.
Program Sejahtera MADANI dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri pada 24 Julai ini, dengan tumpuan khusus kepada aspek pendidikan, kesihatan, perumahan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.
