KUALA LUMPUR, 31 Julai – Sebanyak RM67 bilion akan diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk sektor pendidikan bagi membina sekolah baharu, membaik pulih bangunan sekolah, menaik taraf tadika KEMAS serta memperkukuh fasiliti institusi pendidikan tinggi awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan juga menetapkan bahawa pembinaan sekolah akan menjadi syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar yang baharu.

Selain itu, konsep sekolah vertikal akan diperluas di kawasan padat penduduk bagi menangani isu kekurangan tapak dan kepadatan pelajar.

“Kerajaan tekad memastikan kadar enrolmen murid prasekolah dan menengah mencapai 98 peratus, iaitu melebihi kadar enrolmen sejagat,” katanya pada sidang media pengumuman RMK13 hari ini.