KUALA LUMPUR, 31 Julai – Menyedari masih wujud kesenjangan pembangunan antara wilayah, kerajaan terus komited menangani jurang tersebut bagi memastikan rakyat di desa, termasuk di negeri kurang membangun, menerima limpahan manfaat pembangunan secara adil, menyeluruh dan inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, tumpuan utama diberikan kepada usaha memperkukuh infrastruktur asas, merangsang aktiviti ekonomi dan menggalakkan pelaburan strategik, khususnya di kawasan desa dan wilayah yang sedang membangun.
“Kerajaan mahu memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, tetapi dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat di seluruh negara,” katanya.
Sehubungan itu, beberapa pelaburan berimpak tinggi akan diperluas ke luar kawasan tumpuan sedia ada, termasuk:
• Kawasan Perindustrian Lembah Chuping dan Pelabuhan Darat Perlis
• Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian
• Bandar Perindustrian Maritim Lumut, Perak
Anwar menegaskan langkah ini akan merancakkan ekonomi setempat, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, serta menjadikan pembangunan negara lebih seimbang dan inklusif
