Dalam usaha gigih untuk melindungi generasi muda daripada ancaman bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) dalam talian, Kerajaan Malaysia mengukuhkan pendirian dengan memperkenalkan langkah kawalan yang lebih tegas, termasuk penetapan umur minimum 16 tahun bagi akses akaun media sosial. Fokus utama kini beralih kepada tanggungjawab platform untuk menyukarkan akses kepada CSAM dan menghalang pendedahan kanak-kanak kepada persekitaran berisiko tinggi.
Peningkatan Ancaman dan Operasi Nasional


Isu CSAM telah berkembang menjadi kandungan haram yang paling serius, wujud dalam pelbagai bentuk seperti imej yang diubah suai, rakaman paksa, dan dikongsi melalui akaun persendirian atau kumpulan terhad. Pengesanan dan penyingkiran segera bahan ini kekal menjadi keperluan kritikal.
Peningkatan skala dan kerumitan pengedaran dikesan melibatkan:


•⁠ ⁠Akaun tanpa identiti dan rangkaian tertutup.
•⁠ ⁠Transaksi menggunakan mekanisme pembayaran tanpa tunai.
•⁠ ⁠Penggunaan perkhidmatan pemesejan, platform sosial, dan saluran web gelap.


Bukti peningkatan ancaman ini diperkukuh melalui operasi berskala nasional yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 23 hingga 30 September 2025. Operasi ini berjaya memulihkan lebih 880,000 fail CSAM serta menahan 31 individu di 37 lokasi, satu peningkatan ketara berbanding operasi sebelumnya. Penglibatan golongan remaja dalam siasatan juga membimbangkan, menzahirkan pendedahan awal kepada risiko tinggi.
Mengapa Had Umur 16 Tahun Penting?


Sejajar dengan hala tuju kebangsaan semasa, Kerajaan telah mengumumkan hasrat untuk menetapkan umur minimum 16 tahun untuk akses akaun media sosial. Langkah pencegahan ini didukung oleh pelaksanaan mekanisme pengesahan umur dan pengesahan identiti.


Mekanisme pengesahan umur direka untuk memastikan platform mengesahkan umur pengguna dan menyekat penciptaan akaun bagi individu di bawah 16 tahun. Pelaksanaan ini dijangka bermula seawal tahun 2026 dan sedang diteliti melalui Akta Keselamatan Dalam Talian serta Akta Komunikasi dan Multimedia. Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan mekanisme eKYC (Electronic Know Your Customer) menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, dan MyDigital ID sedang dipertimbangkan untuk pelaksanaan oleh platform.


Rasional penetapan ambang umur 16 tahun adalah sebagai langkah pencegahan awal dan teras keselamatan kanak-kanak, kerana golongan di bawah umur 16 tahun lebih terdedah kepada risiko dalam talian.


Peranan Tegas Platform Digital, Jangkaan awam terhadap tanggungjawab platform dalam melindungi kanak-kanak terus meningkat. Oleh itu, naratif keseluruhan menekankan bahawa perlindungan kanak-kanak memerlukan:


•⁠ ⁠Sekatan awal terhadap bahan haram.
•⁠ ⁠Amalan semakan kandungan yang konsisten.
•⁠ ⁠Mekanisme pengesahan umur yang boleh dipercayai.
•⁠ ⁠Langkah akauntabiliti yang mengurangkan pendedahan kepada kandungan berbahaya.


Platform perlu melaksanakan kawalan yang tegas dan proaktif bagi menghalang CSAM daripada dimuat naik, diakses, atau dikongsi. Pengesanan proaktif dan penyingkiran segera adalah penting dalam mengehadkan pendedahan dan menghalang kemudaratan berulang.


Langkah-langkah ini bertujuan mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, pantas, meluas, dan mampu milik, terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga