SEJAK penubuhannya pada tahun 1987, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah memainkan peranan penting dalam memperkasa golongan berpendapatan rendah dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Dengan memberi tumpuan kepada perniagaan mikro, AIM telah berjaya meningkatkan taraf hidup ramai isi rumah yang berada di bawah kategori B40.

Dekan Institut Lepasan Ijazah, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Dr. Barjoyai Bardai berkata, AIM ialah sistem pembiayaan perniagaan mikro yang sangat berjaya dan memberi impak terhadap pembangunan ekonomi negara sekali gus mengurangkan sedikit sebanyak kadar kemiskinan.

“AIM memberikan pinjaman kecil kepada peniaga gerai, pengusaha pasar, peniaga makanan kecil, penternak dan petani. Walaupun jumlah pinjamannya kecil iaitu antara RM1,000 hingga RM30,000 dengan purata kurang dari RM5,000 bagi setiap peserta, rekod pemulangan pinjamannya hampir 100 peratus.

“Kejayaan ini disebabkan oleh model bimbingan dan pemantauan berterusan yang diterapkan oleh AIM,” jelas beliau yang merupakan pakar ekonomi negara.

Tambah Dr. Barjoyai sejak ditubuhkan, AIM telah membantu lebih 262,000 isi rumah dengan jumlah pembiayaan melebihi RM2.3 bilion.

“Ramai daripada penerima manfaat AIM kini telah berjaya meningkatkan taraf perniagaan mereka daripada perniagaan mikro kepada syarikat sederhana.

“Ini menunjukkan bagaimana disiplin kewangan dan bimbingan yang baik mampu menjadikan dana pinjaman sebagai pemangkin kejayaan,” katanya lagi.

Dalam konteks ekonomi Malaysia yang berkembang pesat, Dr. Barjoyai menyatakan bahawa terdapat jurang yang ketara antara kumpulan ekonomi kaya dan golongan B40.

Meskipun perniagaan mikro, kecil dan sederhana menggaji lebih 85 peratus tenaga kerja negara, sumbangan sektor ini kepada KDNK adalah kurang daripada 25 peratus.

“Untuk merombak ekonomi kepada situasi pembangunan inklusif, model AIM perlu diperluas.

“Ia mampu menyatukan aktiviti ekonomi semua lapisan masyarakat dengan menggalakkan perkongsian aktiviti ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan isi rumah,” kongsi beliau.

Menurut beliau lagi, bagi golongan miskin tegar, pinjaman mikro-kredit AIM telah terbukti memberi impak besar.

“Sehingga kini, AIM telah membantu 262,000 peniaga mikro, kecil, dan sederhana keluar dari kancah kemiskinan. Namun, masih ada sekurang-kurangnya 200,000 isi rumah miskin tegar di Malaysia yang memerlukan bantuan serupa,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa model bimbingan, bantuan dan pembiayaan AIM bukan sahaja membantu golongan miskin mendapatkan pendapatan yang lebih baik, tetapi juga mendisiplinkan mereka untuk menjadi peniaga yang beretika dan berdaya saing.

Sementara itu, dalam era digital masa kini, Dr. Barjoyai melihat potensi besar dalam penggunaan teknologi untuk meningkatkan kecekapan operasi AIM.

“Di masa depan, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik boleh menggantikan peranan pembimbing dan penyimpan rekod, membolehkan AIM menawarkan perkhidmatan yang lebih cekap kepada semua isi rumah yang memerlukan bantuan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dipandang ringan kerana beliau merupakan antara pemangkin kepada penubuhan dan kejayaan AIM.

“Sebagai Menteri Pertanian pada tahun 1985, beliau bertanggungjawab memperkenalkan kemudahan dan perkhidmatan AIM kepada petani dan isi rumah luar bandar.

“Inisiatif awal beliau dan Datuk Paduka Abd Ghani Othman telah mencetuskan sistem sahabat dan kumpulan kerja mingguan yang memperkukuh motivasi peserta dan mendisiplinkan mereka untuk membayar ansuran hutang secara konsisten,” jelas Prof. Dr. Barjoyai.

Di samping itu, ketika dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1987, Anwar telah mengarahkan Universiti Sains Malaysia untuk melakukan kajian berkaitan kesesuaian konsep Bank Grameen ini.

Kajian ini diketuai oleh Prof. Dr. Shukor Kassim dan Dr. Gibbon yang akhirnya membawa kepada penubuhan AIM.

Hakikatnya, AIM telah membuktikan bahawa model pembiayaan mikro yang disertai dengan bimbingan dan sokongan berterusan mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan golongan miskin.

Dengan rekod kejayaan yang cemerlang dan potensi untuk diperluas menggunakan teknologi moden, AIM berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif di Malaysia.