TATAU,SARAWAK,(29 Jan)- Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Tatau kembali dilanda banjir selepas paras air yang surut pada pagi semalam kembali meningkat sekitar jam 9 malam.
Paras air di Sungai Kakus dan Batang Anap dilaporkan meningkat sehingga menyebabkan beberapa kediaman dan rumah panjang di kawasan itu dinaiki air.
Beberapa kawasan di tebingan kedua-dua sungai tersebut turut mengalami banjir, selain beberapa kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku.
Setakat ini, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rh Steven yang dibuka sejak 23 Januari lepas masih beroperasi dan menempatkan 34 orang daripada 13 keluarga yang terjejas di SK Kuala Muput.
Berikutan keadaan cuaca yang masih buruk dan air yang terus meningkat, Pegawai Daerah Tatau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau, Calvin Ligong, mengumumkan pembukaan PPS baharu di Dewan SMK Tatau pada jam 11 pagi ini bagi menempatkan lebih ramai mangsa yang terjejas.
Sementara itu, paras air di Pekan Tatau dilaporkan berada pada tahap amaran setakat jam 10.20 pagi ini, dengan beberapa kawasan rendah seperti Kampung Dagang Tatau, Kampung Baharu Tatau, Hock Lee Garden dan kawasan sekitar Pekan Tatau sudah mula ditenggelami air.
Hujan lebat masih berterusan dan keadaan dijangka akan bertambah buruk dengan peningkatan paras air di kawasan terjejas.
Justeru, pihak berkuasa menasihatkan penduduk yang berada di kawasan berisiko supaya bersiap sedia untuk berpindah dan mematuhi arahan keselamatan.
Sumber : Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak
