Jantung yang berdegup adalah tidak ternilai kerana setiap denyutannya amat berharga. Jantung adalah organ penting dalam badan memainkan peranan membekalkan darah yang kaya dengan oksigen dan nutrien kepada sel serta organ kita.

Bagaimanapun di sebalik kepentingannya itu, di negara ini masalah jantung menjadi punca kematian utama. Satu daripada penyebabnya adalah masalah tekanan darah tinggi yang menjadi faktor risiko utama menyumbang kepada penyakit jantung.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, tiga daripada 10 rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi. Namun, separuh daripada mereka tidak menyedarinya kerana ia tidak bergejala. Bagi mereka yang sedang menerima rawatan, hanya separuh sahaja mempunyai kadar tekanan terkawal.

Sejak pandemik COVID-19 melanda, ketakutan dan rasa ragu-ragu untuk melawat kemudahan penjagaan kesihatan awam menyebabkan pemeriksaan, pengesanan awal, rawatan dan kawalan tekanan darah tinggi menjadi lebih mencabar. Namun ia perlahan-lahan kini pulih kembali.

Sebenarnya ada beberapa kaedah amalan penjagaan diri yang boleh dibuat seperti dikongsi tenaga pengajar di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya Prof Dr Moy Foong Ming. Antaranya termasuklah lakukan pemantauan tekanan darah secara berkala. Jika tekanan darah sistolik 140mmHg dan ke atas, atau tekanan darah diastolik 90mmHg dan ke atas, dapatkan nasihat perubatan di kemudahan penjagaan kesihatan berdekatan.

Keduanya, lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan di mana-mana kemudahan penjagaan kesihatan. Pelbagai platform saringan juga disediakan melalui Inisiatif Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) 2022.

Ketiganya, dapatkan nasihat perubatan dengan segera sekiranya ada gejala tekanan darah tinggi termasuk sakit kepala, pening, penglihatan kabur, muntah, sakit dada atau lemah anggota.

Keempat, patuh kepada nasihat perubatan, rutin ubat-ubatan dan rawatan perubatan. Ikuti nasihat doktor dan pelan rawatan boleh membantu dalam mengawal tekanan darah dan mencegah komplikasi teruk seperti penyakit jantung atau angin ahmar.

Kelima, jalani gaya hidup yang lebih sihat seperti diet yang lebih sihat, bersenam dengan kerap, berhenti merokok, elakkan alkohol, mempunyai tidur yang mencukupi dan mengekalkan berat badan yang sihat untuk kekal sihat.

Keenamnya, pastikan anda mempunyai status mental yang baik. Pengurusan tekanan dan emosi yang baik boleh meningkatkan kesejahteraan mental serta kesejahteraan hidup kita.

Akhir sekali bina sistem sokongan sosial yang baik bagi memastikan anda mengawasi satu sama lain. Amalan penjagaan diri yang baik boleh mencegah dan mengawal tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit tidak berjangkit yang lain.