PM Anwar Tiba Di Riyadh Untuk Mesyuarat Khas WEF

RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Sabtu malam dalam rangka lawatan tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada kira-kira 10.25 malam Sabtu waktu tempatan atau 2.29 pagi Ahad waktu Malaysia.

  • PM Anwar Tiba Di Riyadh Untuk Mesyuarat Khas WEF
  • PM Anwar Tiba Di Riyadh Untuk Mesyuarat Khas WEF

Ketibaan Anwar serta delegasi Malaysia disambut oleh Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud bersama-sama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

JEMPUTAN PERIBADI KE MESYUARAT KHAS WEF BUKTI KEAKRABAN PUTERA PAHKOTA MOHAMMED DENGAN PM ANWAR

Jemputan peribadi daripada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh membuktikan keakraban kedua-dua pemimpin.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi,. Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata, ini adalah perubahan ketara dalam hubungan Malaysia dengan Arab Saudi dan kedua-dua pemimpin.

“Putera Mohammed bin Salman sendiri menghubungi Perdana Menteri dan mengundang beliau untuk hadir ke Mesyuarat Khas WEF,” katanya pada taklimat media pada Sabtu menjelang lawatan Anwar ke Arab Saudi.

Beliau berkata, Perdana Menteri dijangka tiba di Riyadh pada 10 malam Sabtu waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia) dengan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Wan Zaidi berkata, ini adalah lawatan keempat Anwar ke Arab Saudi sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kita melihat bahawa kepentingan lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi kali ini dijangka dapat membantu mengukuhkan hubungan sedia ada yang lama terjalin rapat antara kedua-dua negara dan perkukuhkan hubungan peribadi dengan pemimpin Arab Saudi dan pemimpin lain yang turut hadir,” katanya.

Beliau berkata, Mohamad juga mendapat jemputan peribadi daripada rakan sejawatnya iaitu Menteri Luar Arab Saudi, Faisal bin Farhan Al Saud untuk hadir ke Mesyuarat Khas WEF.

Mesyuarat itu, yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Raja Abdul Aziz bermula Ahad, adalah bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’ dan dijangka dihadiri oleh ketua-ketua negara serta kerajaan selain pemimpin industri.

RANGKA JADUAL PM ANWAR SEPANJANG LAWATAN 3 HARI DI RIYADH

Wan Zaidi berkata, Perdana Menteri dijadualkan menyertai Sesi Panel bertemakan ‘Wawasan Baharu untuk Pembangunan Global’ bersama pemimpin negara lain semasa Pembukaan Mesyuarat Khas itu.

Selain itu, Anwar dijadualkan menyertai Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan khusus untuk mengetengahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dalam sesi ini.

Wan Zaidi berkata, Perdana Menteri juga akan menghadiri program Dialog Strategi Negara dan beliau dijangka berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.

Beliau berkata, sesi itu diadakan khas bagi membolehkan Malaysia mengetengahkan keutamaan strategik dan inisiatif negara termasuk pertumbuhan ekonomi dan fiskal selain peluang perdagangan serta pelaburan.

“Kita lihat bahawa Mesyuarat Khas WEF ini dapat membantu usaha Malaysia untuk terus mengetengahkan peluang pelaburan yang ada di Malaysia kepada pemimpin perniagaan dunia dan syarikat antarabangsa,” katanya.

Wan Zaidi berkata, semasa kerja lawatan itu, Anwar juga akan bertemu dengan ketua-ketua negara dan kerajaan bagi mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama dua hala selain bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas WEF penting bagi mendapatkan kerjasama global dalam memastikan pembangunan mampan untuk masa akan datang dan persediaan mendepani keadaan apabila sumber tenaga tradisional tidak lagi menjadi sumber utama.

“Kerjasama ke arah mewujudkan sumber tenaga utama selain hidrokarbon perlu dilakukan sekarang dan mencari jalan terbaik melibatkan kerjasama antarabangsa dan bagi Malaysia, perkara ini merupakan satu peluang kerjasama yang baik,” katanya.

Wan Zaid juga berharap dan percaya Perdana Menteri akan turut menggunakan platform itu untuk mengetengahkan kepentingan Malaysia dan menyuarakan pendirian negara dalam memperjuang isu berkaitan geopolitik.

Kemudian di luar mesyuarat itu, Anwar dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk rakan sejawatnya dari Jordan iaitu Bisher Hani Al-Khasawneh dan Presiden Rwanda, Paul Kagame.

Perdana Menteri juga akan menyertai ketua-ketua negara dan kerajaan di Majlis Makan Malam Khas yang dihoskan oleh Putera Mahkota Arab Saudi.

Lawatan kerja ini akan terus memperkukuh hubungan erat yang sudah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi serta memperkasa silaturahim pemimpin kedua-dua negara.

SUMBER : BERNAMA