PM Anwar Gesa Kementerian Pendidikan Tinggi Henti Birokrasi, Benarkan Universiti Buat Keputusan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi menghentikan kerenah birokrasi lama yang menyaksikan kementerian membuat banyak keputusan bagi pihak universiti.

Dalam ucapannya di pelancaran Global Intellectual Discourse 2024 di Universiti Malaya hari ini, Anwar berkata kementerian itu perlu memberikan ruang di samping membenarkan pihak universiti membuat beberapa keputusan tertentu berhubung keutamaan masing-masing, dan meneruskan program-program mereka.

PM Anwar Gesa Kementerian Pendidikan Tinggi Henti Birokrasi, Benarkan Universiti Buat Keputusan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk, tiga dari kiri) dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (duduk, dua dari kiri) dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selepas merasmikan Wacana Pemikiran Global 2024 bertemakan The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya hari ini – Sumber FOTO: BERNAMA (2024)

“Saya bangkitkan perkara ini terutama disebabkan keperluan yang mendesak, dan menyedari hakikat bahawa beberapa perkara yang dilaporkan kepada saya berhubung PISA (Program Penilaian Pelajar Antarabangsa) saya dapati amat meresahkan. Sekiranya gerak keraj biasa masih digunakan, anda akan ketinggalan,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menggesa kementerian untuk melaksanakan dasar dan langkah-langkah yang jelas bagi membolehkan sektor pendidikan tinggi di negara ini melangkah maju ke hadapan.

Beliau turut menggalakkan universiti mengembangkan program-program tertentu, terutama dalam kajian Kecerdasan Buatan (AI), dan universiti kemudiannya mungkin boleh melakukan lebih banyak lagi dalam beberapa tahun akan datang.

“Kita tidak mempunyai sumber yang mencukupi, tetapi apa sahaja yang ada mesti dilakukan sekarang, yang bermakna seperti yang saya katakan kepada kementerian, saya mahu sekurang-kurangnya beberapa langkah, beberapa bentuk pelaksanaan diambil sekarang, tahun ini, tiada lagi alasan.

“Kita bercakap mengenai AI, walaupun kita mempunyai dana yang kecik (dan) diluar bajet untuk bermula dengan satu fakulti, tetapi saya pasti akan menggalakkan universiti untuk mengembangkan program itu, dan mungkin beri beberapa tahun untuk melakukan lebih sedikit, yang akan membawa kepada wacana masa depan (yang) relevan dan bermakna,” jelas Anwar.

Sementara itu, Anwar turut menggesa supaya sistem pendidikan prasekolah di negara ini dikaji semula bagi mengelakkan kesenjangan dalam kalangan masyarakat.

PM Anwar Gesa Kementerian Pendidikan Tinggi Henti Birokrasi, Benarkan Universiti Buat Keputusan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada perasmian Wacana Pemikiran Global 2024 bertemakan The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, hari ini – Sumber FOTO: BERNAMA (2024)

“Kalau kita katakan 80 peratus sahaja (anak-anak) masuk prasekolah dengan kategori berbeza, mungkin 40 peratus baik, 40 peratus agak sederhana, dan sekitar 20 peratus amat lemah, maknanya tak sampai 50 peratus (yang baik).

“Maknanya dalam kita bicara soal keadilan, kita sebenarnya lebarkan kesenjangan kota dan desa, kaya kota dengan miskin kota, miskin desa dan miskin pedalaman,” tambahnya.

Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, prasekolah yang dikendalikan Kementerian Pendidikan perlu menyediakan kemudahan tambahan secara menyeluruh kepada semua pelajar di negara ini, biarpun ia bermakna kerajaan terpaksa berhadapan kos perbelanjaan baharu.

“Sebab itu gesaan saya dalam tempoh singkat tahun ini (2024), kita sediakan kemudahan tambahan, kita bermula dengan yang asas, misalnya tahun lepas kita belanja RM1 billion pulih untuk baik pulih tandas sekolah sahaja,” katanya.

Sumber: BERNAMA