Pengeluar kereta dari Jerman, Audi mengesahkan akan menyertai Kejuaraan Dunia Formula 1 (F1) mulai musim 2026 dengan unit kuasa yang mereka bangunkan khas.
Projek itu akan berpangkalan di kemudahan Audi Sport di Neuburg berhampiran Ingolstadt. Ini adalah kali pertama dalam lebih sedekad trenkuasa F1 akan dibina di Jerman.
Unit kuasa 2026 akan mengekalkan seni bina enjin pembakaran dalaman V6 semasa tetapi menampilkan peningkatan kuasa elektrik dan 100% bahan api mampan — dua faktor utama Audi mahu menyertai semula kejohanan F1.
Audi yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Volkswagen menambah bahawa ia juga menyokong rancangan F1 untuk menjadi lebih mampan dan kos cekap, serta had kos untuk pengeluar unit kuasa yang diperkenalkan pada 2023 dan F1 menetapkan sasaran untuk menjadi Karbon Sifar Bersih menjelang 2030.
Nyata Audi lagi, mereka telah melakukan ujian enjin F1 serta ujian motor elektrik dan bateri di pangkalan Neuburg. Kini Audi sedang berusaha untuk mendapatkan kakitangan, bangunan dan infrastruktur teknikal menjelang akhir tahun ini. Kemudiannya menambah baik prestasi ‘unit kuasa’ dalam masa tiga tahun sebelum memasuki kejohanan F1, petik portal rasmi Formula 1.
