LONDON: Gol babak kedua Pedri dan Raphinha menyelamatkan Barcelona yang bermain 10 orang apabila mereka bangkit untuk menang 2-1 di Osasuna awal pagi tadi selepas penyerang, Robert Lewandowski dibuang padang pada babak pertama.
Pedri menyamakan kedudukan tiga minit selepas rehat dan Raphinha masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan Barca lima minit sebeum tamat hasil tandukan menarik.
Kemenangan itu memastikan Barca akan melalui rehat Piala Dunia di kedudukan teratas liga dengan 37 mata dan ia malam yang sukar buat Gerard Pique, yang diletakkan di bangku simpanan dan dilayangkan kad merah selepas membuat komen terhadap pengadil dalam perlawanan terakhir kariernya.
Pertembungan itu bermula dengan buruk buat pelawat dan menjadi semakin teruk.
David Garcia menanduk masuk buat Osasuna pada minit keenam sebelum Lewandowski dilayangkan kad merah selepas kad kuning kedua pada minit ke-31.
Dia dilayangkan kad kuning kerana menarik Nacho Vidal pada minit ke-11 dan 20 minit kemudian diarahkan keluar padang selepas kekasaran terhadap Garcia.
Ia hanya kad merah kedua dalam karier Lewandowski, hampir 10 tahun selepas dia dibuang padang dalam aksi Bundesliga bersama Borussia Dortmund ketika menentang Hamburg pada Februari 2013.
Ia perlawanan tegang dengan kedua-dua pasukan menerima empat kad kuning dan pengurus Barcelona, Xavi Hernandez juga menerimanya kerana beberapa kali bertengkar dengan pengadil.
“Saya bangga dengan pasukan saya kerana mereka bertarung dengan baik berdepan lawan yang sukar dan keputusan yang boleh dipersoalkan oleh pegawai perlawanan,” kata jurulatih, Xavi kepada Movistar Plus.
